Tragedi Blok 102: Kerusi 'maut' ada di tingkat 21 pada hari kejadian - Datuk mangsa

Harits Asyraf Hasnan
Januari 17, 2018 06:07 MYT
Krishnan menunjukkan lokasi di mana cucunya ditimpa kerusi yang dipercayai dicampak dari tingkat atas 21 Blok 102 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam. - Foto Astro AWANI
"Saya nampak kerusi yang bunuh cucu saya di depan lif tingkat 21..."
Itu pengakuan Krishnan Raman, 71 tahun, datuk kepada S. Sathiwaran yang maut ditimpa sebuah kerusi yang dicampak daripada Blok 102 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam.
Katanya, kerusi itu masih berada di tingkat 21 pada hari kejadian semasa dia turun untuk bersembahyang di kuil berdekatan.
"Saya duduk tingkat 21 dan kerusi tu sudah ada empat hari di depan lif tingkat 21.
"Pada hari Isnin (hari kejadian), pukul 5.30 petang saya hendak turun bersembahyang dan kerusi itu masih ada di situ," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini hari ini.
"Pernah satu ketika saya tengah jalan tiba-tiba ada periuk yang penuh dengan sampah jatuh ke tingkat bawah."
BACA: DBKL sita rumah PPR jika buang sampah dari tingkat atas
BACA: Tragedi baling kerusi: "Sebaik berpusing, otak dia jatuh dalam tangan saya" - Ibu mangsa
Malah, dia juga akui nyaris menjadi mangsa kedegilan segelintir penduduk yang membuang sampah dan barangan lusuh dari tingkat atas.
"Pernah satu ketika saya tengah jalan tiba-tiba ada periuk yang penuh dengan sampah jatuh ke tingkat bawah.
"Habis baju saya kotor kena sampah dan nasib baik periuk itu tak kena kepala saya," ujarnya.
Redha dengan ketentuan yang menimpa cucunya, Krishan mengakui tidak menyangka, kerusi yang dilihatnya sekian lama itu telah meragut nyawa cucunya.
"Saya mula-mula ingat ada pergaduhan ke apa. Lepas itu ada beberapa orang datang jumpa saya dan bagi tahu cucu saya mati kerana ada kerusi jatuh dari tingkat atas.
"Saya amat terkejut dan sangat susah hati," katanya.
#Blok 102 #Krishnan Raman #maut #mentaliti #pbt #PPR #PPR Pantai Dalam #projek perumahan #Projek Perumahan Rakyat Seri Pantai #S Sathiwaran #sikap