Tragedi berbasikal: Dua remaja maut, basikal melambung dirempuh kereta

Astro Awani
Januari 11, 2018 11:33 MYT
Dua remaja maut selepas basikal yang ditungganginya dirempuh kereta di Pekan Nanas - Gambar Astro AWANI
Dua remaja berumur 13 dan 14 tahun maut selepas basikal yang ditungganginya bersama dua yang lain dirempuh kereta jenis Toyota lewat malam pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Pontian, Zakaria Abdul Rahman berkata kejadian berlaku di Kilometer 1.3, Jalan Sawah Ulu Pulai, Pekan Nanas, Pontian Johor.
”Hasil siasatan mendapati kemalangan itu berlaku apabila kereta yang dipandu lelaki berumur 38 tahun yang datang dari arah Ulu Pulai menuju Ke Pekan Nanas sedang memotong kenderaan dihadapannya.”
“Dia kemudian merempuh sekumpulan remaja berbasikal dari arah Pekan Nanas ke Ulu Tiram,” katanya di sini, hari ini.
Jelas Zakaria, akibat rempuhan itu dua basikal tercampak dan melambung beberapa meter dan penunggangnya maut di tempat kejadian.
"Dua lagi penunggang basikal mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Pontian untuk rawatan lanjut," katanya lagi.
Pemandu kereta bagaimanapun, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Difahamkan kesemua remaja berkenaan dari dalam perjalanan pulang dari berlatih kompang.
#basikal #Hospital #Johor #kemalangan #kereta #Kompang #maut #penunggang #polis #Pontian #remaja #rempuh #siasatan #tragedi
;