Tragedi Batang Kali: Operasi SAR tinggalkan kesan mendalam kepada anggota penyelamat

Bernama
Disember 25, 2022 07:30 MYT
Ahmadi berkata, pasukan penyelamat diberikan terapi minda dan kata-kata semangat bertujuan memulihkan kembali motivasi bagi meneruskan kerja-kerja pencarian mangsa. - Gambar fail BERNAMA
BATANG KALI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya dekat sini yang berakhir hari ini, meninggalkan kesan mendalam kepada anggota-anggota penyelamat.
Ketua Zon Hulu Selangor Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Ahmadi Muhamad Hasan berkata selain fizikal, emosi anggota juga terkesan sepanjang sembilan hari operasi SAR berlangsung.
Mengimbas kembali usaha mengesan mangsa tragedi itu, beliau berkata faktor tanah lembut dan cuaca hujan menyukarkan pergerakan dan menuntut kudrat anggota penyelamat.
"Tidak dapat dinafikan emosi pasukan di ground zero juga kadangkala terjejas terutamanya apabila gagal menemukan mangsa atau petunjuk baharu keberadaan mangsa di bawah runtuhan tanah," katanya kepada Bernama di Pos Kawasan Tempat Kejadian di sini semalam.
Ahmadi berkata pasukan penyelamat diberikan terapi minda dan kata-kata semangat bertujuan memulihkan kembali motivasi bagi meneruskan kerja-kerja pencarian mangsa.
Meskipun dengan penemuan mayat empat sekeluarga yang merupakan korban ke-27, ke-28, ke-29 dan ke-30 pada hari ketujuh pencarian, beliau berkata operasi SAR terus berdepan kesukaran.
"Hendak mencari hanya seorang lagi mangsa dalam kawasan yang sangat luas iaitu hampir 15 ekar (6.07 hektar) sangat sukar," katanya.
Ahmadi berkata selain kerja pengorekan dan penggalian melibatkan jengkaut, anggota penyelamat bersama anjing pengesan perlu membuat pencarian di kawasan sama berkali-kali bagi mengesan mangsa.
"Syukur Alhamdulillah akhirnya sekitar 4.50 petang semalam, kita berjaya menemukan mayat terakhir. Sebagai pasukan penyelamat, apabila jumpa mangsa, itulah ubat paling mujarab untuk hilangkan segala kepenatan kami," katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani secara rasmi menamatkan operasi SAR mangsa tragedi tanah runtuh itu 12 tengah hari tadi, setelah pihaknya mengesahkan tiada lagi mangsa yang terlibat atau hilang dalam kejadian itu.
Dalam kejadian awal pagi 16 Dis lepas, seramai 92 mangsa terlibat dengan 61 daripadanya terselamat, manakala 31 terkorban. Daripada angka korban itu, 18 ialah individu dewasa dan 13 kanak-kanak termasuk seorang bayi berumur setahun.
Secara keseluruhan, 20 mayat ditemukan di sektor A (hill view), satu di sektor B (farm view) dan 10 lagi di sektor C (river side).
-- BERNAMA
#Tanah Runtuh Batang Kali #Father's Organic Farm #bomba #operasi sar
;