Tragedi Batang Kali: JKM sedia khidmat kaunseling kepada mangsa, keluarga terkorban
Shafik Ahmad
Disember 25, 2022 14:14 MYT
Disember 25, 2022 14:14 MYT
KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia memberi khidmat kaunseling menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada mangsa yang terselamat serta keluarga yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata setakat ini pihaknya sedang memantau dan mengenal pasti mangsa serta ahli keluarga keadaan emosi mangsa yang masih trauma selepas menghadapi bencana.
“Dari segi kaunseling kita akan memantau kalau ada yang memerlukan kerana khidmat ini amat penting apabila menghadapi bencana seperti ini.
“Untuk itu belum dapat kita kenal pasti kerana kebanyakan mereka tidak mahu diganggu kerana mereka masih bersedih dalam menghadapi bencana ini.
“Apatah lagi ada yang baru jumpa semalam, jadi untuk mengenal pasti berapa ramai itu belum lagi, sebab rasanya masih ada yang trauma dan tidak dapat menerima hakikat ini berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Kampung Baru di Kota Samaharan di sini pada Ahad.
Namun JKM akan sentiasa bersiap siaga menghulurkan bantuan dari segi khidmat psikologi dan kaunseling kepada mereka yang memerlukan.
“Sebelum ini saya menerima panggilan daripada satu keluarga yang mana pada masa itu mangsa belum dijumpai jadi syukur alhamdulillah pada masa ini semalam sudah dijumpai 31 mayat yang selamat 61, jadi secara keseluruhan 92 mangsa.
“Jadi memang JKM sentiasa bersiap siaga untuk memberi perkhidmatan, pada masa itu makanan tidak diperlukan sebab mereka terus pergi ke hospital cuma kita memang bersiap sedia untuk memberi bantuan kepada mangsa dan keluarga mereka,jadi setakat ini semuanya berjalan lancar,” katanya.