Tragedi banjir Disember boleh berulang jika hujan berterusan
Sinar Harian
November 9, 2022 08:40 MYT
November 9, 2022 08:40 MYT
SHAH ALAM: Bencana banjir sama di Selangor pada Disember lalu boleh berulang jika hujan berterusan dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, Selangor menerima purata taburan hujan pada tahun lalu sebanyak 2,700 milimeter (mm).
Menurutnya, setakat 30 Oktober lalu, hanya tinggal 300mm baki taburan hujan daripada jumlah berkenaan.
"Jika hujan dengan jumlah baki itu dalam tempoh dua hingga tiga hari ini secara berterusan, banjir akan berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar di pusat kawalan tempat kejadian (PKTK) di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, PKTK di sini mula beroperasi sejak jam 8 malam pada Selasa sebagai persediaan untuk menghadapi banjir di kawasan tersebut.
Beliau berkata, seramai 15 anggota bomba ditempatkan di PKTK berkenaan, selain dilengkapi dengan lima buah bot untuk kegunaan pihak terbabit.
"Hubungan PKTK dengan masyarakat adalah penting, yang mana penduduk perlu mainkan peranan supaya tidak panik dan interaksi antara mereka dengan ketua komuniti bertambah bagus.
"Pegawai mempunyai kuasa dan autoriti, tapi ia tidak mencukupi dalam keadaan krisis, oleh itu ia tidak dapat diselesaikan sepenuhnya," ujarnya. -Sinar Harian