Tragedi baling kerusi: "Sebaik berpusing, otak dia jatuh dalam tangan saya" - Ibu mangsa

Nursyazwani Saiful Sham
Januari 16, 2018 17:26 MYT
Kasthuribai M. Sattayappan (kanan) ditenangkan anaknya S Logeswaran (tengah) susulan kejadian semalam yang meragut nyawa anaknya di PPR Seri Pantai, Pantai Dalam. Foto: BERNAMA
“Sebaik berpusing sahaja, otak dia jatuh dalam tangan saya. Saya hanya mampu menjerit meminta tolong walaupun tiada siapa yang mahu tolong...”
Kisah menyayat hati ini dikongsikan ibu mangsa, Kasthuribai Sattayappan, 45 tahun selepas anaknya, S. Sathirawan, 15 tahun meninggal dunia akibat kejadian hentakan kerusi yang dicampak dari tingkat atas PPR Seri Pantai, Pantai Dalam di sini pada Isnin.
“Ketika itulah otaknya terburai. Saya tadah dengan kedua belah tangan. Anak memandang muka saya tepat tapi kosong. Dia kemudian rebah di depan mata saya lalu saya menjerit meminta tolong."
Sebelum kejadian itu berlaku, Kasthuribai menemani anaknya untuk membeli kad tambah nilai telefon.
“Saya menemani Sathirawan untuk membeli kad tambah nilai, namun tiada. Kemudian dia menuju ke arah saya di hadapan lif dan tanpa diduga sebuah kerusi jatuh tepat ke atas kepala dia.”
BACA: Remaja maut ditimpa kerusi di PPR
Dalam pada itu, seorang ahli keluarga mangsa, Citra mahu pihak PPR untuk mengambil tindakan lanjut susulan kejadian yang berlaku.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Ruslan Khalid mengesahkan kejadian.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kematian secara cuai.
#Brickfields #mati #meninggal dunia #polis #PPR Pantai Dalam #remaja
;