Tragedi balik kampung beraya: Kanak-kanak lemas ketika mandi sungai
Adie Sufian Zulkefli
April 27, 2023 18:41 MYT
April 27, 2023 18:41 MYT
BALING: Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang pulang menyambut Aidilfitri di kampung datuknya di Kampung Sungai Limau, di sini, lemas ketika mandi di sungai berdekatan Pam Loji Sungai Limau pada Khamis.
Mayat Muhammad Yusuf Khairuddin ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) kira-kira jam 5 petang, tidak jauh dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mangsa tinggal di Subang, Selangor dan datang ke lokasi itu bersama keluarganya untuk mandi.
“Mangsa ketika itu dikatakan sedang mandi pada waktu tengah hari sebelum tiba-tiba dihanyutkan arus dan hilang dari pandangan.
“Ahli keluarga bertindak membuat laporan kepada pasukan bomba jam 1.40 tengah hari.
“Anggota bomba bersama APM yang tiba terus melakukan pencarian di permukaan dan berjaya menemui mangsa,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Shamsudin berkata, mayat mangsa kemudian dibawa naik ke tebing dan dihantar ke Hospital Baling untuk bedah siasat.
Katanya, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.