Tragedi balik kampung: 6 sekeluarga terlibat kemalangan di Gurun, 1 maut
Adie Sufian Zulkefli
Jun 2, 2019 18:22 MYT
Jun 2, 2019 18:22 MYT
Kegembiraan sebuah keluarga untuk pulang beraya di kampung bertukar tragedi apabila kenderaan mereka terbabit kemalangan dekat Gurun, Kedah menyebabkan seorang anggota keluarga meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata dalam kejadian jam 1.45 petang itu, kereta jenis Toyota Wish dinaiki enam sekeluarga terbabit dalam perjalanan dari Shah Alam, Selangor ke Anak Bukit, Alor Setar.
Menurut Adzli, ketika di Kilometer 81.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran kawasan Rehat Dan Rawat (R&R) Gurun, kereta mereka hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri sebelum merempuh penghadang besi di tepi lebuh raya.
Akibat kemalangan, mangsa Azli Jaafar, 54, yang duduk di sebelah pemandu cedera parah dan meninggal dunia setelah tersepit.
Isteri mangsa, Norpisah Ahmad, 50, serta dua anak perempuan mereka, Nurafiqah Azli, 20, dan Nuraqila Azli, 25, cedera parah.
Anak mangsa, Muhammad Asyraf Azli, 28, dan Mohamad Aqil, 26, hanya mengalami cedera ringan.
Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat dan rawatan.
Punca kejadian sedang dikenal pasti dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Adzli Abu Shah
#Azli Jaafar
#kemalangan maut
#Mohamad Aqil
#Muhammad Asyraf Azli
#Norpisah Ahmad
#Nurafiqah Azli
#Nuraqila Azli
#pulang beraya di kampung
#R&R Gurun
#Rehat dan Rawat