Tragedi anak maut dipukul selepas Subuh

Nur Fazlizai Ali
Julai 1, 2020 16:33 MYT
Zaleha menunjukkan gambar anak lelakinya yang maut dalam kejadian berhampiran rumahnya pagi tadi. -Astro AWANI
Luluh hati seorang ibu melihat anaknya menghembuskan nafas terakhir di depan mata dipercayai selepas dibelasah beberapa lelaki di belakang rumah mereka di Marang, pada Rabu.
Dalam kejadian di Kampung Bukit Gasing, kira-kira jam 6 pagi itu, Farid Mohammad, 28, maut di dalam rumahnya kira-kira setengah jam selepas kejadian itu.
Ibunya, Zaleha Muda, 51, berkata dia sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh sebelum dikejutkan dengan kekecohan dan jeritan meminta tolong.
"Saya kemudian segera keluar untuk memeriksa sebelum melihat anak berada dalam keadaan lemah dan kesakitan serta hampir pengsan.
"Saya panggil beberapa kali dan dia tersedar dan saya papah dia masuk ke rumah.
"Dia kemudian sempat beritahu dipukul sebelum tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia," katanya ketika ditemui di sini, pada Rabu.
Zaleha mendakwa, ketika kekecohan berlaku, dia terdengar suspek menyebut sesuatu mengenai hutang namun tidak memahaminya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Dris ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.
Katanya, polis sudah mengenal pasti dua daripada tiga suspek yang terbabit dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
"Dua suspek yang berusia 26 dan 27 tahun itu merupakan warga tempatan dan dipercayai dikenali mangsa. Polis sedang memburu mereka yang dipercayai sudah melarikan diri selepas pemeriksaan mendapati mereka tidak berada di rumah,"katanya.
#bunuh #Kampung Bukit Gasing #Marang #Pembunuhan #polis #Seksyen 302 #terengganu #Zaleha Muda
;