Tragedi Aidilfitri: Dua remaja maut, motosikal bertembung pacuan empat roda
Mohd Zalani Md Atan
Mei 2, 2022 23:49 MYT
Mei 2, 2022 23:49 MYT
KUANTAN: Dua remaja lelaki yang dipercayai dalam perjalanan untuk beraya, maut selepas motosikal ditunggang dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 23 Jalan Pekan - Batu Balik pada Isnin.
Muhammad Nur Zulkefli Zakaria, 18, yang menunggang motosikal dan pemboncengnya, Muhammad Ibrahim Mhd Khairudin, 18, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Mohd Zaidi Mat Zin, Ketua Polis Daerah Pekan berkata, pihaknya telah menerima panggilan pada pukul 6.18 petang mengenai satu kemalangan maut.
"Hasil siasatan awal dapati motosikal mereka terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Mitsubishi Triton yang datang dari arah bertentangan.
"Kejadian itu telah menyebabkan kedua-dua penunggang dan pembonceng meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan penumpang Mitsubishi Triton tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.