Tragedi 16 Sept: Nor Aqilah cerita kejadian ragut nyawa kembar dan 2 rakan
Adie Sufian Zulkefli
Disember 26, 2020 12:17 MYT
Disember 26, 2020 12:17 MYT
YAN: Seratus hari selepas tragedi hitam yang meragut nyawa kembar dan dua rakannya, mangsa yang terselamat Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, bercerita tentang apa yang berlaku pada detik malang tanggal 16 September lalu.
Malam itu, Nor Aqilah kehilangan pasangan kembar dan dua sahabat karibnya; satu kehilangan yang meninggalkan kesan amat mendalam dalam hidupnya.
Nor Aqilah, satu-satunya mangsa yang terselamat, tidak menyangka persetujuan bersama untuk berehat sebentar di stesen minyak di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat Permatang telah mengakibatkan tiga daripada mereka maut keracunan gas karbon monoksida.
Dalam kejadian itu, pasangan kembar Nor Aqilah iaitu Nor Adilah dan dua sahabat Sharifah Fariesha Syed Fathi, 21, dan Ayuni Shazwanie Shabri, 21, meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam kenderaan pelbagai guna (MPV).
Menceritakan kembali detik kejadian, Nor Aqilah berkata ketika itu mereka dalam perjalanan pulang ke Kedah selepas seharian berjalan di Pulau Jerejak.
Katanya, sebaik tiba di stesen minyak itu, kembarnya Nor Adilah yang memandu kenderaan dan Sharifah Fariesha penumpang hadapan keluar membeli makanan ringan dan minuman, manakala Nor Aqilah berbual dengan Ayuni Shazwanie di tempat duduk belakang.
Menurutnya, ketika itu enjin dan sistem penyaman udara kenderaan masih dihidupkan manakala pintu dan tingkap bertutup rapat.
Katanya, selepas kembarnya dan Ayuni masuk semula ke dalam kereta, mereka berempat terus berbual dan bersetuju untuk meneruskan semula perjalanan kerana hari telah lewat.
Nor Aqilah juga memaklumkan tiada seorang pun di antara mereka yang tidur ketika itu; semuanya masih sedar.
“Masa berhenti, Adilah dan Ayuni keluar dari kereta untuk beli Maggi dan Tealive, kemudian Farisha pula keluar beli makanan, saya kemudian keluar bantu bawakan barang dan terus ke kereta.
“Dalam lima minit dalam kereta masa itu, saya sudah tertidur, kawan-kawan lain masih lagi bersembang, lepas tu bila saya sedar saya sudah di hospital.
"Tapi saya memang tak tidur atau rancang untuk tidur... kami hanya nak berhenti makan,” cerita Aqilah.
Nor Aqila berkata dia sedar semula selepas 10 hari menerima rawatan di Hospital Tuanku Mizan di Kuala Lumpur dan mengetahui kejadian yang menimpa kembar dan dua rakannya selepas dimaklumkan oleh ibu.
Menceritakan detik terakhir bersama kembarnya nyata memberi kesedihan kepada Nor Aqilah.
“Gambar terakhir tu masa dekat buaian, gambar masa tu saya dengan Farisha, kemudian satu gambar ni hanya saya seorang saja, macam satu kebetulan.
"Bila tengok balik chat yang lama masa nak konvokesyen tu, Farisha ada beritahu takut tak dapat nak pegi konvo, seolah-olah dia tahu apa nak berlaku,” katanya.
Menurut Nur Aqilah, kejadian itu meninggalkan trauma mendalam kepadanya sehingga sekarang, tetapi dengan sokongan keluarga, dia yakin mampu menghadapinya.
Katanya, setelah selesai menjalani rawatan susulan awal Disember lalu, Nor Aqila pulang ke rumah dan meneruskan perniagaan pakaian terpakai yang diusahakan bersama Nor Adilah sebelum ini sementara menantikan proses menyambung pengajian di peringkat ijazah.
Dalam kejadian 16 September lalu, kakak kembar Nor Aqilah meninggal dunia sehari selepas dirawat di Hospital Angkatan Tentera Lumut (HATL) manakala Syarifah Fariesha dan Ayuni Shazwanie meninggal dunia sejurus menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).
Menurut laporan, kenderaan dinaiki empat sahabat berkenaan mengalami kebocoron di bahagian ekzos kereta hasil pemeriksaan seorang juruteknik.
Pemeriksaan mendapati berlaku kebocoran kerana bahagian ekzos mengeluarkan bunyi dan bau asap yang sangat kuat.
Kebocoran itu menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri kerana terhidu gas yang keluar dan masuk ke dalam kereta.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad memaklumkan laporan bedah siasat menunjukkan punca kematian tiga penuntut kolej swasta ketika berehat di dalam kereta di sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di Samagagah, Pulau Pinang, 16 September lalu disebabkan terhidu gas karbon monoksida hingga menyebabkan kegagalan pelbagai organ.