Trafik udara dijangka meningkat pada 2023 susulan pembukaan semula sempadan China - Anthony

Bernama
Disember 28, 2022 07:34 MYT
Anthony percaya pergerakan trafik udara antara kedua-dua negara itu akan meningkat tahun depan kerana akan ada penerbangan yang masuk dan keluar dari China.- Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka menyaksikan lonjakan permintaan penerbangan susulan pembukaan semula sempadan China, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Menurutnya, beliau percaya pergerakan trafik udara antara kedua-dua negara itu akan meningkat tahun depan kerana akan ada penerbangan yang masuk dan keluar dari China.
"Ketika ini ramai orang yang mula mengembara semula, jadi sudah tentunya akan menambah kepada destinasi di China. Dari segi trafik udara, akan ada peningkatan dan saya yakin kita akan kembali semula kepada paras seperti sebelum COVID," katanya kepada pemberita selepas pengumuman penerbangan tambahan AirAsia pada tambang rendah tetap sempena perayaan Tahun Baru China yang akan datang.
Bagaimanapun, Loke tidak mendedahkan sebarang peningkatan khusus dalam peratusan.
China dilaporkan akan membuka semula sempadannya pada 8 Jan, 2023, selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik COVID-19.
Mengenai penetapan harga tiket penerbangan, beliau berkata kerajaan tidak merancang untuk menetapkan sebarang harga bagi syarikat penerbangan kerana mereka beroperasi berasaskan kepada harga dinamik.
"Jika kita letakkan harga siling, akan ada implikasi negatif kepada penumpang. Sebagai contoh, mereka akan mengurangkan kapasiti. Tidak ada syarikat penerbangan yang mahu beroperasi sekiranya ia merugikan," katanya.
Loke juga maklum bahawa tambang udara dinaikkan semasa musim perayaan, justeru, beliau menyarankan syarikat penerbangan agar menambah lebih banyak kekerapan penerbangan supaya harga menjadi lebih berpatutan.
"Kita menggalakkan semua syarikat penerbangan meningkatkan kekerapan penerbangan mereka tetapi ia juga bergantung kepada kapasiti mereka. Saya berharap semua syarikat penerbangan dapat membantu kerajaan dari segi meningkatkan kekerapan dan pengendali lapangan terbang akan membantu memudahkannya.
"Jadi mana-mana syarikat penerbangan yang bersedia untuk menyediakan tambang tetap seperti itu, kerajaan berbesar hati untuk membantu dan menyokong," katanya.
Sementara itu, mengenai kelewatan penerbangan akibat cuaca buruk yang tidak dapat dielakkan, Loke menasihatkan syarikat penerbangan agar menyalurkan maklumat dengan efisien kepada penumpang bagi menangani situasi tersebut. - BERNAMA
#Anthony Loke #China membuka sempadan #trafik udara #penerbangan Malaysia