Trafik udara berkembang 16.1 peratus pada suku pertama tahun ini

Bernama
Mei 2, 2024 20:39 MYT
Saripuddin berkata angka trafik udara bagi suku pertama 2024 adalah petunjuk bahawa sektor penerbangan berada pada laluan yang kukuh untuk pemulihan. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Trafik penumpang udara berkembang 16.1 peratus kepada 22.6 juta penumpang pada suku pertama tahun ini selepas dipacu oleh trafik udara antarabangsa dan kembali kepada corak perjalanan sebelum pandemik dalam kalangan rakyat Malaysia.
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dalam laporan perangkaan trafik penumpang udara dan kargo untuk suku pertama 2024 menyatakan trafik udara antarabangsa melonjak sebanyak 39.9 peratus dari tahun ke tahun kepada 11.9 juta penumpang, manakala trafik penumpang udara domestik berkurangan sebanyak 2.3 peratus kepada 10.7 juta penumpang.
Pengerusi Eksekutif MAVCOM Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata angka trafik udara bagi suku pertama 2024 adalah petunjuk bahawa sektor penerbangan berada pada laluan yang kukuh untuk pemulihan.
"Syarikat penerbangan telah memberi fokus ke arah pemulihan termasuk menambah destinasi antarabangsa baharu dalam rangkaian mereka dan pengecualian visa 30 hari untuk pelancong dari China serta India menyediakan persekitaran yang kondusif bagi pemulihan yang lebih cepat dalam perjalanan udara antarabangsa.
"Pada pada masa yang sama, komitmen kami terhadap langkah perlindungan pengguna yang teguh dan pengawasan kawal selia kekal tidak berbelah bahagi, menekankan peranan penting industri dalam memupuk hubungan selain memacu kemampanan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pemulihan industri selepas pandemik itu kekal dalam trajektori menaik pada 85.5 peratus berbanding paras 2019, dengan pemulihan trafik udara antarabangsa pada 89.3 peratus dan domestik pada 81.7 peratus daripada tahap sebelum pandemik.
Buat pertama kali sejak pandemik, bahagian trafik udara antarabangsa telah mengatasi angka perjalanan domestik, mencerminkan pengembangan yang agak memberangsangkan dalam laluan dan frekuensi antarabangsa serta pemulihan perjalanan antarabangsa apabila pelancongan global menjadi semakin pulih.
Trafik penumpang udara domestik serta antarabangsa masing-masing menyumbang 47.5 peratus dan 52.5 peratus daripada jumlah trafik penumpang udara suku tahunan.
Selain itu, walaupun terdapat pengurangan dalam pergerakan kargo udara pada suku pertama 2024, pergerakan kargo udara Malaysia kekal di atas paras sebelum pandemik pada 100.7 peratus berbanding suku pertama 2019.
Sementara itu, jumlah trafik penumpang udara pada suku pertama menokok dari suku ke suku sebanyak 2.7 peratus berbanding suku keempat 2023, dengan trafik penumpang udara antarabangsa naik 7.9 peratus dari suku ke suku, manakala trafik udara domestik merosot sebanyak 2.5 peratus dari suku ke suku.
Pada masa yang sama, Malaysia merekodkan 227,365 tan metrik pergerakan kargo pada suku pertama 2024, penurunan 6.3 peratus dari tahun ke tahun berbanding 242,750 tan metrik pada suku pertama 2023.
Pergerakan kargo udara domestik pula jatuh 30 peratus dari tahun ke tahun, manakala pergerakan kargo udara antarabangsa melonjak sebanyak 7.2 peratus dari tahun ke tahun.
-- BERNAMA
#trafik penumpang #mavcom #corak perjalanan #suku pertama
;