Trafik sesak, peniaga gembira Melaka kembali dikunjungi pelancong

Bernama
Disember 27, 2020 07:12 MYT
Melaka kembali meriah dengan pengunjung selepas kira-kira dua bulan sepi apabila tempoh PKPB, terutamanya di beberapa zon di Lembah Klang, berakhir. --fotoBERNAMA
MELAKA: Trafik sesak dan kawasan lampu isyarat merah dipenuhi kenderaan menunggu antara perkara sinonim dengan Melaka terutamanya di lokasi tumpuan seperti Bandar Hilir yang mula dibanjiri pelancong domestik sempena sambutan Hari Krismas dan cuti sekolah.
Tinjauan Bernama mendapati , Melaka yang terkenal sebagai destinasi pelancongan sejarah, produk makanan dan kesihatan kembali meriah dengan pengunjung selepas kira-kira dua bulan sepi apabila tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terutamanya di beberapa zon di Lembah Klang berakhir.
Meskipun hari sudah petang, lokasi di Dataran Belanda, Jalan Kota, Bukit St Paul, Sungai Melaka dan sebagainya yang suram sebelum ini, kini kembali meriah dengan kunjungan pelancong dari serata negeri yang kebanyakannya menghabiskan cuti bersama keluarga.
Malah, rata-rata peniaga yang ditemui berasa gembira dan menyifatkan kehadiran pelancong ke negeri ini, memberi sinar semula kepada mereka untuk menjana pendapatan selepas perniagaan mereka terkesan teruk akibat pandemik COVID-19.
Seorang pengusaha makanan tradisional berasaskan kelapa, Sapilah Majid, 32, berkata permintaan produk keluaran syarikatnya seperti gula Melaka, kerisik dan sebagainya yang dihantar ke gerai makanan di kawasan pelancongan kini kembali memberansangkan.
Katanya sebelum ini, penghasilan produk hanya dijalankan tiga kali seminggu disebabkan kekurangan permintaan, tetapi kini penghasilannya bertukar kepada enam kali seminggu seperti sebelum penularan COVID-19.
"Rasa gembira dan bersyukur sebab bila ramai pelancong datang ke Melaka mereka akan membeli produk syarikat kami untuk kegunaan dalam masakan dan membawa pulang sebagai cenderamata," katanya kepada Bernama, di sini semalam.
Bagi seorang peniaga kuih bahulu, Masniza Adam, 44, berkata apabila negeri ini mula didatangi ramai pelancong sejak 7 Dis lepas, jualannya kian meningkat dan mampu mencecah antara RM200 dan RM300 sehari berbanding ketika tiada pengunjung iaitu RM50 hingga RM80.
"Sebelum ini, bahulu yang dihantar ke kedai-kedai rosak disebabkan tiada pembeli selain terpaksa menanggung kerugian. Syukur, kini kedatangan pelancongan ke negeri ini semakin baik, kebanyakan mereka daripada kalangan warga tempatan banyak membantu ekonomi peniaga," katanya.
Menurut seorang lagi peniaga gerai makanan, Shahzuan Shah Saleh, 33, hampir semua makanan yang terdapat di gerainya habis dijual selain tempat duduk di meja makan penuh setiap hari sejak kehadiran semula pelancong ke Melaka berbanding sebelum ini.
-- BERNAMA
#Melaka #pelancongan #ekonomi #peniaga #pelancong #perintah kawalan pergerakan bersyarat #keluarga #COVID-19 #PKPB #pandemik #perniagaan #pendapatan #makanan tradisional #trafik #sesak
;