Trafik sesak 40 kilometer di Lebuhraya KL-Karak

Fareez Azman
Januari 29, 2022 19:24 MYT
Jumlah kenderaan yang memasuki lebuh raya itu hari ini di luar jangkaan. - Gambar/ Bernama
GOMBAK: Aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dilaporkan sesak sepanjang hampir 40 kilometer bermula dari Plaza Tol Gombak hingga ke Bentong sejak awal pagi tadi berikutan cuti sempena Tahun Baharu Cina.
Menurut Ketua Operasi dan Penyelenggaraan ANIH Berhad, Ainul Hasri Shah Abu Hassan, jumlah kenderaan yang memasuki lebuh raya itu di luar jangkaan pihaknya.
"(Kesesakan) ini tidak dijangkakan kerana berlaku dari pagi tadi dan sampai sekarang (6.45 petang) masih banyak kenderaan masuk untuk ke Pantai Timur.
"Kita cuba mengawal keseksaan yang ada, keadaan ini akan berlanjutan sehingga malam. Kesesakan ini sehingga menghampiri Plaza Tol Bentong iaitu (sepanjang) lebih kurang 30 hingga 40 kilometer ," jelasnya ketika ditemui Astro AWANI di Plaza Tol Gombak pada Sabtu.
Tambahnya, meskipun cadangan jadual perjalanan telah dikeluarkan untuk mengurangkan kesesakan, namun rata-rata pengguna mengambil peluang untuk memulakan perjalanan lewat petang dan mengakibatkan kesesakan luar biasa.
"Pada pagi tadi terdapat kemalangan, tapi kita dapat menyuraikan kesesakan dalam satu jam. Tapi kesesakan berlarutan sampai ke petang akibat kemasukan kenderaan terlampau tinggi.
"ANIH Berhad sudah keluarkan jadual perjalanan, tapi masih ramai tidak mengikut jadual perjalanan kami, dimana kami mengarahkan rata rata yang nak ke Pantai Timur keluar seawal jam 6 pagi tadi.
"Tapi rata-rata ambil kesempatan pulang waktu petang, ini punca kesesakan. Saya tidak boleh jangkakan jam berapa akan selesai kesesakan aliran trafik sebab kenderaan terus masuk ke lebuhraya KL-Karak," katanya lagi.
Dalam pada itu, jelasnya, orang ramai yang masih belum memulakan perjalanan untuk pulang ke kampung halaman dinasihatkan agar menangguhkan dahulu perjalanan mereka.
Ujar Ainul Hasri, ia bagi mengelakkan lebih ramai terperangkap dalam kesesakan di lebuh raya berkenaan.
"Kalau yang masih belum keluar ke rumah, tangguh perjalanan anda, kalau boleh esok hari.
"Kalau keluar hari ini, akan berlaku kesesakan. Kalau kenderaan anda tidak diselenggara dengan baik, dikhuatiri akan rosak di pertengahan perjalanan.
"Ini menyebabkan lagi banyak kesesakan di tengah perjalanan, ini dikhuatiri yang berlaku kerana banyak kenderaan terlalu panas overheated, pada jam 4 petang tadi ada kenderaan terbakar di Kilometer 40 disebabkan perkara itu," jelasnya lagi.
Mengulas lanjut tambah Ainul Hasri, pihaknya menjangkakan 1.6 juta pengguna akan menggunakan lebuhraya tersebut sepanjang tempoh perayaan Tahun Baharu Cina.
#Tahun Baharu Cina #kesesakan trafik #Pantai Timur #lebuh raya Karak
;