Trafik penumpang udara meningkat 39.1 peratus pada Mei 2023 - IATA
Bernama
Julai 6, 2023 22:42 MYT
Julai 6, 2023 22:42 MYT
KUALA LUMPUR: Jumlah trafik penumpang udara melonjak 39.1 peratus pada Mei 2023 berbanding Mei 2022 apabila faktor muatan meningkat ke paras seperti yang dicatatkan pada 2019, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Persatuan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata trafik domestik bagi Mei meningkat 36.4 peratus berbanding setahun lalu manakala jumlah trafik domestik pada Mei 2023 berada pada 5.3 peratus, mengatasi paras pada Mei 2019.
Ini merupakan bulan kedua berturut-turut trafik domestik mengatasi paras sebelum pandemik.
"Kita melihat banyak berita baik pada Mei. Penerbangan penuh dengan purata faktor muatan mencecah 81.8 peratus.
"Pasaran domestik merekodkan pertumbuhan seperti sebelum pandemik. Dan menuju ke musim perjalanan bagi musim panas di hemisfera Utara, penerbangan antarabangsa mencecah 90.8 peratus daripada paras sebelum pandemik," kata Ketua Pengarah IATA Willie Walsh.
Sementara itu, trafik antarabangsa meningkat 40.9 peratus berbanding Mei 022 dengan semua pasaran merekodkan pertumbuhan kukuh, diterajui sekali lagi syarikat penerbangan di rantau Asia Pasifik.
Menurut persatuan itu, hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK) mencecah 90.8 peratus daripada paras Mei 2019, dengan syarikat penerbangan Timur Tengah dan Amerika Utara melepasi paras sebelum pandemik.
-- BERNAMA