Trafik penumpang udara Malaysia naik kepada 15.3 juta pada Februari 2024
Bernama
April 1, 2024 04:30 MYT
April 1, 2024 04:30 MYT
KUALA LUMPUR: Jumlah trafik penumpang udara Malaysia setakat ini meningkat 21.4 peratus kepada 15.3 juta pada Februari 2024 berbanding 12.6 juta penumpang dalam tempoh sama pada 2023, kata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).
Dalam kenyataan pada Isnin, katanya, ramalan trafik penumpang udara Mavcom tahun ini adalah antara 93.9 juta dan 107.1 juta penumpang, menggariskan trajektori pertumbuhan sektor penerbangan yang dijangkakan.
"Momentum pemulihan ini dibuktikan lagi dengan trafik penumpang Februari 2024 yang mencapai 95.4 peratus daripada jumlah trafik penumpang pada Februari 2019," katanya.
Menurut Mavcom, bagi Februari 2024, Malaysia telah menyaksikan jumlah trafik penumpang mencapai 8.1 juta, menunjukkan peningkatan bulan ke bulan yang signifikan, iaitu 12.6 peratus berbanding Januari 2024, berjumlah 7.19 juta penumpang.
Angka ini turut menandakan pertumbuhan tahun ke tahun yang ketara sebanyak 34.8 peratus berbanding Februari 2023, yang mencatatkan seramai 6.01 juta penumpang, katanya.
"Trafik penumpang domestik dan antarabangsa masing-masing menyumbang sebanyak 49.3 peratus dan 50.7 peratus kepada keseluruhan trafik pada Februari 2024, menandakan peningkatan 3.2 mata peratusan dalam syer trafik penumpang domestik berbanding Januari 2024," katanya.
Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, sektor penerbangan sedang menuju ke arah pemulihan yang teguh, dengan trafik penumpang udara untuk Februari 2024 menunjukkan peningkatan yang ketara.
Beliau berkata, data semasa menunjukkan permintaan untuk perjalanan udara di Malaysia mungkin mencapai tahap prapandemik menjelang akhir tahun ini dan berpotensi untuk melepasinya pada 2025.
"Bagaimanapun, kapasiti pesawat pada masa ini masih menjadi isu berbangkit berikutan gangguan rantaian bekalan, menyebabkan kelewatan dalam penghantaran pesawat.
"Oleh itu, adalah penting bagi syarikat penerbangan untuk merancang rangkaian penerbangan mereka secara teliti dan memperuntukkan sumber mereka dengan cekap.
"Selain itu, pengendali lapangan terbang harus memastikan infrastruktur sedia ada mencukupi dan mampu menampung peningkatan permintaan untuk mengekalkan tahap kualiti perkhidmatan yang tinggi," katanya.
Saripuddin berkata, lonjakan perjalanan udara yang signifikan ini turut mencerminkan pemulihan kepercayaan pengguna terhadap perjalanan udara yang selamat dan kembalinya hasrat untuk berhubung, menekankan peranan penting sektor penerbangan dalam memudahkan bukan sahaja kecergasan ekonomi, malah pembinaan semula ikatan.
Beliau berkata, sebagai pengawal selia, Mavcom mengambil perhatian terhadap perkembangan ini dan kekal komited dalam memastikan pertumbuhan sektor ini sejajar dengan keperluan rangka kerja perlindungan pengguna dan kualiti perkhidmatan yang teguh, serta pengawasan kawal selia suruhanjaya.
"Ini memastikan pemulihan industri bukan sahaja kukuh,malah saksama dan mampan," katanya. - BERNAMA