Trafik penumpang udara Malaysia naik 123.6 peratus pada suku pertama 2023 - Mavcom
Bernama
Jun 19, 2023 06:15 MYT
Jun 19, 2023 06:15 MYT
KUALA LUMPUR: Trafik penumpang udara Malaysia meningkat 123.6 peratus tahun ke tahun kepada 19.4 juta penumpang pada suku pertama 2023, kata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).
Peningkatan prestasi itu dikaitkan dengan lonjakan trafik penumpang antarabangsa seiring dengan pembukaan semula sepenuhnya sempadan antarabangsa negara, kata Mavcom dalam satu kenyataan bersempena dengan penerbitan laporan dwi-tahunan Waypoint terkini pada Isnin.
"Berikutan pembukaan semula sepenuhnya sempadan antarabangsa, trafik penumpang antarabangsa meningkat pada purata 80.9 peratus suku ke suku.
"Hak trafik udara antarabangsa yang diluluskan juga menunjukkan peningkatan ketara 246.1 peratus dari tahun ke tahun, memperlihatkan peningkatan kukuh pasaran antarabangsa," katanya, sambil menambah bahawa jumlah trafik penumpang berada pada 73 peratus paras 2019.
Selain itu, pengawal selia penerbangan awam berkata kedudukan ketersambungan udara Malaysia meningkat kepada tempat kelima di Asean, mengatasi Filipina, dengan skor ketersambungan 61 pada 2022, mencerminkan pemulihan yang rancak dalam industri penerbangan.
Peningkatan ini disebabkan oleh bilangan kerusi antarabangsa yang lebih tinggi ke destinasi dengan wajaran yang lebih tinggi berikutan penarikan sekatan sempadan pada suku ketiga 2022, katanya.
"Terminal 1 dan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengekalkan kedudukannya sebagai lapangan terbang keempat tertinggi kesalinghubungannya di Asean," katanya.
Laporan Waypoint itu turut menunjukkan bahawa purata perolehan tempat duduk kilometer tersedia - purata kos tempat duduk kilometer tersedia (RASK-CASK) kembali stabil kepada 1.6 sen pada suku keempat tahun 2022.
Sementara itu, prestasi kargo negara pada suku pertama 2023 merosot apabila jumlah tan muatan kilometer turun 11 peratus tahun ke tahun kepada 4,666 juta, menandakan penurunan suku kedua berturut-turut, katanya.
"Pengurangan ini sejajar dengan prestasi dagangan Malaysia pada suku tersebut, disebabkan beberapa faktor, termasuk kelembapan dalam ekonomi global, peralihan berterusan dalam perbelanjaan pengguna daripada produk kepada perkhidmatan, dan kitaran turun dalam industri elektrik dan elektronik," katanya.
Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata walaupun industri penerbangan mengalami pengurangan dalam jumlah trafik kargo udara pada suku pertama 2023, lonjakan yang luar biasa dalam jumlah trafik penumpang memberikan gambaran yang baik tentang daya tahan industri penerbangan.
"Prestasi luar biasa ini bukan sahaja menunjukkan keupayaan industri penerbangan untuk pulih tetapi turut menyediakan asas yang kukuh bagi pertumbuhan sektor yang berterusan sepanjang tahun 2023," katanya.
Suruhanjaya itu mengekalkan jangkaan trafik penumpang udara Disember 2022 meningkat antara 40 peratus dan 52 peratus tahun ke tahun pada tahun 2023, mencapai antara 74.6 juta dan 80.8 juta penumpang.
Trafik kargo udara dijangka berkembang antara tiga peratus dan 4.8 peratus tahun ke tahun pada tahun 2023, berdasarkan prestasi kargo yang mencabar pada suku pertama, Suruhanjaya itu meramalkan trafik kargo akan berada di sekitar tahap rendah ramalan, menunjukkan pertumbuhan yang lebih perlahan, katanya.
-- BERNAMA