Trafik penumpang MAHB susut 84.2 peratus kepada 1.8 juta pada November
Bernama
Disember 15, 2020 06:52 MYT
Disember 15, 2020 06:52 MYT
KUALA LUMPUR: Pergerakan penumpang di rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd merosot 84.2 peratus dari tahun ke tahun kepada 1.8 juta pada November 2020, berbanding 11.55 juta sebelumnya dengan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pergerakan penumpang domestik jatuh 78.3 peratus dari tahun ke tahun kepada 1.3 juta pada bulan yang ditinjau, manakala trafik penumpang antarabangsa turun 90.6 peratus dari tahun ke tahun kepada hanya 0.5 juta penumpang.
"Sejak 12 bulan lepas, jumlah pergerakan penumpang di rangkaian lapangan terbang MAHB berkurangan sebanyak 61.9 peratus kepada 53.6 juta penumpang.
"Pelanjutan PKP sehingga 6 Dis 2020 merentasi lokasi utama di Malaysia terus menjejaskan pemulihan lalu lintas," kata pengendali lapangan terbang itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia pada Selasa.
Trafik penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatatkan penurunan sebanyak 97.8 peratus dari tahun ke tahun kepada 113,000 pada November, manakala klia2 merekodkan hanya 31,000 penumpang, kejatuhan 98.8 peratus dari tahun ke tahun.
Bagaimanapun, KLIA mengalu-alukan penerbangan semula Cathay Pacific Airways dengan satu penerbangan setiap minggu, selepas ketiadaan selama tiga tahun, katanya.
MAHB ketika mengulas mengenai operasi di luar negara berkata pergerakan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (SGIA) Istanbul sedikit terjejas akibat pengenalan semula perintah separa berkurung pada 20 Nov 2020, langkah yang dikenakan oleh kerajaan Turki berikutan peningkatan jumlah kes COVID-19 di seluruh negara itu.
-- BERNAMA
#MAHB
#pergerakan penumpang
#trafik penumpang
#Malaysia Airports Holdings Bhd
#PKPB
#penumpang domestik
#penumpang antarabangsa