Trafik lebuh raya utama dijangka makin sesak malam ini
Fareez Azman
Januari 23, 2023 18:07 MYT
Januari 23, 2023 18:07 MYT
KUALA LUMPUR: Aliran trafik di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke ibu negara terus meningkat petang ini dan dijangka semakin sesak menjelang malam nanti.
Peningkatan kenderaan di lebuh raya adalah susulan cuti sempena Tahun Baharu Cina.
Pemerhatian Astro AWANI mendapati, aliran trafik arah Utara ke Selatan mulai perlahan di beberapa bahagian.
Antaranya di Kuala Kangsar ke Terowong Menora, Bukit Beruntung ke Rawang, Tapah ke Sungkai, Tambun ke Simpang Pulai.
Bagi laluan menghala ke arah Utara pula, aliran trafik perlahan dikesan di Bandar Baharu ke Bandar Cassia, Terowong Menora ke kawasan Rehat dan Rawat Sungai Perak, Gua Tempurung ke Gopeng, Tapah ke Gua Tempurung dan Slim River ke Sungkai.
Di bahagian Selatan pula trafik perlahan dari Nilai ke Seremban, Tangkak ke kawasan Rehat dan Rawat Pagoh, Pagoh ke Yong Peng, Simpang Renggam ke Kulai.
Aliran trafik di Pantai Timur menghala ke ibu kota pula dilaporkan sesak dari Bentong ke Bukit Tinggi, Hentian Rehat Gombak ke Plaza Tol Gombak.
Mengikut cadangan dikeluarkan oleh PLUS, pengguna dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Johor dan lain-lain negeri dinasihatkan untuk memulakan perjalanan pulang ke Lembah Klang bermula semalam sehingga 29 Januari depan.