Trafik harian dijangka melonjak 15 peratus mulai 10 Jun - PLUS

Bernama
Jun 9, 2020 11:34 MYT
PLUS menjangkakan jumlah trafik harian melonjak sehingga 15 peratus mulai esok. -BERNAMA
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan jumlah trafik harian melonjak sehingga 15 peratus mulai esok, susulan keputusan kerajaan membuka lebih banyak sektor ekonomi dan membenarkan pergerakan rentas negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), bermula 10 Jun.
Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata, unjuran itu berdasarkan catatan jumlah trafik harian sejak 4 Mei sehingga minggu terakhir Ramadan, yang menjangkau lebih sejuta kenderaan pada hari bekerja biasa dan meningkat dengan stabil ketika negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
"Dengan kenaikan yang stabil sejak 1 Jun, PLUS menjangkakan jumlah trafik melonjak antara 10 hingga 15 peratus setiap hari, bermula pada minggu pertama PKPP pada 12, 13, dan 14 Jun ini.
"PLUS yakin berupaya mengendalikan jumlah trafik sepanjang tempoh PKPP," kata Azman.
Azman turut menyatakan sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, kadar trafik harian PLUS adalah sebanyak 1.6 juta kenderaan sehari, dan jumlah itu meningkat kepada 2 juta sehari pada musim-musim perayaan.
Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh melayari laman sesawang PLUS di www.plus.com.my atau menghubungi talian PLUSLine 1800 88 0000.
-- BERNAMA
#ekonomi #kerajaan #Malaysia #pergerakan rentas negeri #perintah kawalan pergerakan #perintah kawalan pergerakan bersyarat #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #PKP #PKPB #PKPP #PLUS #Ramadan
;