Trafik di lebuh raya utama masih sesak

Sinar Harian
April 11, 2024 19:37 MYT
Keadaan kesesakan di Alor Pongsu.
SHAH ALAM: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama di negara ini masih lagi sesak setakat jam 5 petang Khamis susulan pergerakan orang ramai sempena cuti Hari Raya Aidilfitri.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi Facebook rasminya melaporkan, trafik perlahan di sembilan laluan.
Ia membabitkan laluan di Perak iaitu dari Lembah Beringin ke Tanjung Malim, Slim River ke Bidor, Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah ke Gua Tempurung.
Trafik juga perlahan dari Gopeng menuju Simpang Pulai, Ipoh (Utara) ke Changkat Jering dan Alor Pongsu ke Sungai Bakap.
Trafik turut perlahan dari Permatang Pauh ke Bertam di Pulau Pinang dan di Kedah pula, trafik perlahan dari Sungai Petani (Selatan) ke Sungai Petani (Utara) dan Alor Setar (Selatan) ke Alor Setar (Utara).
Sementara itu, PLUS Trafik melaporkan, trafik juga perlahan dari Kuala Kangsar ke Changkat Jering.
Keadaan sama turut dilaporkan berlaku dari Simpang Ampat ke Pedas Linggi dan Senawang ke Port Dickson (Utara) di Negeri Sembilan dan dari Simpang Renggam ke Ayer Hitam, Johor.
Sinar Harian terdahulu melaporkan setakat jam 1.30 tengah hari Khamis trafik sesak di 12 laluan di enam negeri.
Ia termasuklah laluan dari Bandar Cassia ke Bandar Baharu, Bukit Tambun ke Bandar Cassia, Bandar Baharu ke Alor Pongsu dan Juru AutoCity ke Plaza Tol Juru di Pulau Pinang. - Sinar Harian
#trafik sesak #Aidilfitri #info trafik terkini #lebuh raya
;