Trafik di lebuh raya utama dari Lembah Klang ke utara, Pantai Timur mulai sesak

Bernama
Jun 28, 2023 11:00 MYT
Bagi laluan dari ibu kota ke selatan pula trafik masih berjalan lancar dan LLM menjangkakan trafik akan semakin sesak menjelang tengah hari. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Trafik di lebuh raya utama keluar dari Lembah Klang menghala ke utara dan pantai timur mulai sesak pagi ini berikutan orang ramai mula pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidiladha esok.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata setakat 9.30 pagi ini bagi laluan ke pantai timur, trafik sesak dari Plaza Tol Gombak sehingga ke Genting Sempah dan dari Bukit Tinggi ke Bentong.
"Bagi laluan ke utara pula trafik sesak di Lebuhraya Utara-Selatan dari Tapah ke Gopeng, Gopeng ke Simpang Pulai, Ipoh ke Jelapang dan Terowong Menora ke kawasan Rehat dan Rawat (RR) Sungai Perak," katanya ketika dihubungi Bernama.
Jurucakap berkenaan berkata trafik juga sesak dari Padang Rengas ke RR Bukit Gantang dan Bukit Tambun ke Plaza Tol Juru.
"Bagi laluan dari ibu kota ke selatan pula trafik masih berjalan lancar dan LLM menjangkakan trafik akan semakin sesak menjelang tengah hari dan orang ramai diminta mematuhi cadangan jadual perjalanan balik kampung yang dikeluarkan," katanya.
-- BERNAMA
#trafik sesak #lebuh raya #Aidiladha #Pantai Timur
;