Trafik bergerak perlahan di beberapa lebuh raya utama
Bernama
Julai 8, 2016 13:16 MYT
Julai 8, 2016 13:16 MYT
Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan perlahan setakat pukul 12 tengah hari ini berikutan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya.
Jurucakap PLUS Malaysia Berhad, ketika dihubungi Bernama berkata, trafik perlahan dari Hentian Sebelah Bukit Gantang arah selatan menuju Bukit Berapit serta dari Kuala Kangsar menuju ke arah Jelapang.
"Trafik juga dilaporkan sibuk dari Bandar Baharu menuju Hentian Sebelah Alor Pongsu Selatan disebabkan jumlah kenderaan yang tinggi," katanya.
Sementara itu Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik di Plaza Tol Gombak menuju ke Timur mulai sibuk berikutan peningkatan bilangan kenderaan namun masih terkawal.
"Aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur di kedua-dua hala mulai sibuk namun bergerak lancar dan terkawal," katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.