Tradisi berbuka puasa ala era 70-an gamit nostalgia makan setalam
Bernama
April 7, 2024 08:32 MYT
April 7, 2024 08:32 MYT
KOTA BHARU: Suasana berbuka puasa yang dicipta penduduk perumahan Taman Paduka Kubang Kerian, di sini menggamit nostalgia ala era 70-an apabila majlis itu dijalankan secara bergotong-royong bagi mengekalkan tradisi masyarakat Melayu Kelantan.
Penyelaras majlis berkenaan Nik Norgilan Ismail, 52 berkata kira-kira 80 penduduk bekerjasama memasak juadah tradisional antaranya nasi kerabu tumis dan kuih-muih seperti tepung pelita, kuih sira nekbat, pindang tapai ubi kayu dan puteri mandi yang disediakan sejak awal pagi.
"Inisiatif ini adalah hasil perkongsian idea semua penduduk yang sepakat memberi sumbangan dan menyediakan peralatan pinggan mangkuk lama, cerek serta dulang bagi mengimbau nostalgia berbuka puasa pada 1970-an.
"Kami memberi pendedahan seperti ini dengan hasrat ia akan diteruskan oleh generasi muda, malah kami percaya mereka jarang berkesempatan merasai suasana berbuka puasa yang ada keunikan tersendiri dengan makan setalam antara lima hingga enam orang," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Lebih menarik, Nik Norgilan yang juga seorang guru berkata mereka turut mengambil pendekatan mengenakan baju kurung Kedah bagi wanita, manakala pakaian semutar kain batik lepas pula dipakai oleh lelaki.
Nik Norgilan berkata sambutan berbuka puasa seumpama itu sudah jarang ditemukan dan ia sangat mengujakan mereka yang menyertai khususnya generasi muda.
"Walaupun perumahan ini berada di tengah-tengah bandar, kami mahu suasana kampung dan tradisi lama tidak dilupakan," katanya.
Seorang penduduk Mohd Zawawi Mat Nor, 29 berkata biarpun zaman berubah, amalan dan menu tradisi perlu dikekalkan bagi menyuburkan jati diri golongan pelapis.
Pada masa sama, katanya ukhwah dan silaturahim antara penduduk juga dapat terus dierat melalui kerja berpasukan yang dilakukan.
-- BERNAMA