TPPA: Tangani dahulu isu kebanjiran warga asing
Bernama
Januari 18, 2016 22:02 MYT
Januari 18, 2016 22:02 MYT
Isu kebanjiran warga asing di negara ini perlu ditangani sebelum Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ditandatangani bagi mengelak masalah lebih buruk pada masa hadapan.
Setiausaha Agung Majlis Kesatuan Sekerja Perkhidmatan ASEAN (ASETUC) Mohamed Shafie BP Mammal berkata menerusi perjanjian itu akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, dan ini dilihat akan mengundang lebih ramai warga asing ke negara ini.
Justeru, beliau menyarankan kerajaan melakukan 'pembersihan' secara efektif terhadap pekerja asing yang tidak berdaftar di negara ini dengan menguatkuasakan undang-undang sedia ada.
"Dianggarkan terdapat kira-kira tujuh juta pekerja asing di Malaysia dengan hanya 2.5 juta daripada mereka yang berdaftar, sementara selebihnya bekerja secara haram.
"Pembersihan perlu dilakukan dengan mendaftar mereka yang tidak berdaftar atau menghantar mereka pulang ke negara asal. Ini mesti dilakukan secara serius, bukannya bermusim," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat ASETUC mengenai TPPA, di sini hari ini.
Beliau turut meminta kerajaan menjelaskan secara terperinci mengenai TPPA yang dilihat sesetengah pihak lebih menguntungkan sektor perniagaan.
Shafie berkata satu memorandum akan dihantar kepada kerajaan minggu depan berhubung beberapa cadangan untuk dipertimbangkan sebelum TPPA ditandatangani.
Dua belas negara yang terlibat dalam rundingan TPPA sebelum ini, ialah Australia, Amerika Syarikat, New Zealand, Kanada, Mexico, Peru, Chile, Brunei, Singapura, Jepun, Vietnam dan Malaysia.
Ia dijadual ditandatangani pada Februari.