TPPA perlu dibentangkan di Parlimen pertengahan Januari depan - Mustapa Mohamed
Bernama
Oktober 15, 2015 15:48 MYT
Oktober 15, 2015 15:48 MYT
Dokumen Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) perlu dibentangkan di Dewan Rakyat pada pertengahan Januari depan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau menjelaskan Malaysia tidak boleh lewat daripada dua minggu pertama tahun 2016 untuk membuat keputusan sama ada menandatangani perjanjian tersebut atau tidak.
"Masalahnya minggu ini ada pembentangan bajet negara, jadi kita tidak boleh ganggu proses itu.
"Sudah tentu saya akan berbincang dengan Speaker (Dewan Rakyat) bagi mendapatkan tarikh (untuk bentangkan TPPA)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah mengenai TPPA pada Program Outreach Perjanjian Perdagangan Bebas kementeriannya di sini, hari ini.
Rundingan TPPA dimuktamadkan pada 5 Okt lalu di Atlanta, Amerika Syarikat (AS) dan teks dokumen dijangka disiapkan penghujung bulan ini.
Rundingan TPPA yang julung kali dilancar pada 2005 membabitkan 12 negara - Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS dan Vietnam.
Mustapa berkata TPPA merupakan perjanjian paling kontroversi yang memerlukan kerajaan memberi penerangan secara menyeluruh mengenai pro dan kontra.
Menurut beliau kebanyakan perbincangan mengenai TPPA pada masa sekarang lebih berdasarkan kepada spekulasi.
Katanya kerajaan perlu melakukan pusingan lain perbincangan dokumen itu walaupun sudah terdapat kepastian mengenainya sebaik dokumen dikeluarkan.
#AS
#Australia
#Brunei
#Chile
#Dewan Rakyat
#Jepun
#Kanada
#Malaysia
#Mexico
#Mustapa Mohamed
#New Zealand
#Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik
#Peru
#Singapura
#Vietnam