TPPA: Industri sawit kecewa dengan keputusan Trump
Azyyati Ahmad
Januari 24, 2017 13:12 MYT
Januari 24, 2017 13:12 MYT
Keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk tidak mengambil bahagian dalam Perjanjian Perkongsian Trans- pasifik (TPPA) mengecewakan Industri perladangan tempatan khususnya sawit.
Ini kerana, menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, Malaysia kehilangan potensi besar dalam pasaran eksport sawit ke negara-negara yang menganggotai negara tersebut.
Malah, keputusan Trump itu juga menutup peluang Malaysia menikmati cukai eksport yang lebih rendah di negara itu.
"Pada masa ini, cukai eksport sawit Malaysia dikenakan sehingga 18 peratus oleh AS. Jika TPPA diteruskan bersama AS, hampir 95 peratus cukai produk dan barangan berkaitan sawit akan dihapuskan.
"Jadi saya sangat kecewa dengan keputusan AS menarik diri daripada TPPA, setelah perbincangan dan usaha yang panjang dilakukan untuk mendapat persetujuan 12 negara sebelum ini," katanya.
Tambah beliau, melalui TPPA eksport sawit negara mampu melonjak ke RM20 bilion pada 2021 berbanding RM13 bilion pada 2014.
Bagaimanapun, pihaknya akan melihat potensi lain bidang eksport sawit atau TPPA diteruskan tanpa kehadiran AS.
"Keputusan ini merupakan cabaran yang perlu dihadapi khususnya dalam industri sawit, namun target eksport sawit tahun ini dilihat mampu meningkat lima hingga lapan peratus.
"Namun, kami berharap AS dapat mengkaji semula keputusan tersebut atau Malaysia terbuka untuk mengadakan perjanjian perdagangan berbentuk dua hala," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melancarkan Persidangan Tinjauan Strategik Malaysia ke 19 di sini hari ini.