TPNS dijangka beroperasi sepenuhnya tahun depan

Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli
September 9, 2022 05:15 MYT
Mohd Amran Awang melihat keadaan kawasan air terjun yang terjejas akibat banjir besar semasa tinjauan di Taman Pertanian Negeri Sekayu. - Foto fail/BERNAMA
HULU TERENGGANU: Taman Pertanian Negeri Sekayu (TPNS) yang terjejas teruk akibat banjir luar jangka pada Februari lepas dengan anggaran kerugian hampir RM1 juta dijangka beroperasi sepenuhnya tahun hadapan.
Pengurusnya Mohd Amran Awang berkata, setakat ini hanya beberapa kawasan di TPNS sahaja dibuka kepada pengunjung selepas menghentikan operasi hampir lima bulan bagi proses pembersihan.
Menurut Amran, usaha memulihkan taman berkenaan berdepan kesukaran berikutan hampir 80 peratus fasiliti di taman tersebut terjejas teruk akibat banjir.
"Selepas berlakunya banjir Februari baru ini memang keadaan sebenar sungai ini memang sudah berubah.
"Sekarang ini terdapat longgokkan pasir besar dan juga berlaku hakisan di tebing-tebing. Dan keadaan fizikal batu-batu juga memang sudah bertukar," katanya.
Menurutnya, usaha memulihkan taman berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat dengan memastikan kawasan riadah yang dibuka adalah selamat kepada pengunjung.
Antara kawasan yang terjejas teruk termasuk kolam taman tema, penginapan pengunjung dan dewan makan, surau, tapak khemah serta taman kanak-kanak.
#Taman Pertanian Negeri Sekayu #banjir #Mohd Amran Awang #pemulihan
;