TPN Virtual Summit bantu pemain industri pelancongan hadapi cabaran wabak COVID-19

Isabelle Leong
April 7, 2020 12:30 MYT
Ketika aktiviti pelancongan di serata dunia terhenti ekoran COVID-19, kini masa terbaik untuk pemain-pemain industri menyusun strategi perniagaan mereka. - Gambar hiasan
Semua aktiviti pelancongan di serata dunia sudah terhenti susulan penularan wabak COVID-19.
Bagi membantu pemain industri pelancongan berdepan dengan situasi runcing dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Tourism Productivity Nexus (TPN) mengadakan sidang kemuncak pelancongan maya pertama di negara ini iaitu TPN Virtual Summit (TPNVitS).
Walaupun ia merupakan situasi yang mencabar buat industri pelancongan ketika ini, Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis berkata, inilah masanya buat pemain industri untuk menyusun strategi perniagaan mereka.
“Ini merupakan masa yang genting bagi industri kami.
“TPN sebagai penghubung antara pemain industri dan kerajaan tidak boleh memeluk tubuh dan tidak melakukan apa-apa.
“Kami perlu melakukan sedaya yang mampu dalam mendepani krisis ini. Inilah masanya buat kami mengatur strategi dan kami akan kembali dengan lebih kuat,” kata Uzaidi dalam satu kenyataan pada Selasa.
Persidangan TPNVitS menampilkan pemain industri utama yang memberikan ceramah, temu bual dan forum dalam talian yang dihadiri lebih 1,000 peserta.
Kemuncak persidangan tersebut menampilkan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Nancy Shukri dan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman dalam forum yang membincangkan cabaran dan langkah yang boleh diambil untuk bergerak ke hadapan dalam krisis COVID-19 tersebut.
TPNVitS juga menyokong inisiatif TPN Knowledge Enhancement Webinar Series (KEWS) yang telah menyampaikan 14 webinar setakat ini.
Kedua-dua TPNVitS dan KEWS merupakan platform yang menyampaikan pengetahuan dan maklumat mengenai pelbagai topik yang berkaitan dengan industry pelancongan.
Ia termasuk pemasaran dan promosi, penjenamaan dan pengiklanan selain pinjaman, geran serta dana.
#cabaran #ceramah #COVID-19 #koronavirus #Menteri Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan #Nancy Shukri #pelancongan #sidang kemuncak pelancongan maya #TPN Virtual Summit #TPNVitS #Uzaidi Udanis
;