TPM Zahid lakukan kunjungan hormat ke atas PM China, Li Qiang
Nazri Kahar
Mei 29, 2024 17:55 MYT
Mei 29, 2024 17:55 MYT
BEIJING: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri China, Li Qiang di Rumah Tamu Negara Diaoyutai di Beijing hari ini.
Dalam kunjungan itu kedua-dua pemimpin mengadakan mesyuarat selama kira-kira 45 minit di Villa 12 , Rumah Tamu Diaoyutai.
Dalam ucapan ringkasnya , Li Qiang mengalu-alukan kehadiran Ahmad Zahid dan amat menghargai lawatan itu, sempena kedua-dua negara sedang merayakan ulang tahun ke 50 hubungan bilateral.
“Hari ini merupakan hari yang istimewa. 50 tahun lalu Presiden Mao Zedong, pengasas negara China mengadakan pertemuan dengan (Perdana Menteri Malaysia) Tun Abdul Razak, disusul pemeteraian perjanjian hubungan diplomatik Malaysia-China,” katanya.
Sementara itu Ahmad Zahid dalam ucapan aluannya berkata: “31 Mei merupakan detik yang bersejarah kepada Malaysia-China selepas Perdana Menteri Malaysia ke-2 , Allahyarham Tun Abdul Razak dan Perdana Menteri China Chao En-Lai, menandatangani kenyataan bersama pada 1974."
Tambahnya, hubungan dua hala bukan hanya dengan kerajaan dengan kerajaan, atau perniagaan dengan perniagaan , sebaliknya membabitkan rakyat dengan rakyat.
"Hubungan Malaysia China tidak boleh di ganggu gugat atau dirosakkan oleh pengaruh luar, Malaysia “firmly pursuit the One China Policy opposes external forces stirring up trouble especially in South China Sea," kata Timbalan Perdana Menteri lagi.
Beliau juga berkata hubungan rakyat dan pentadbiran kedua-dua negara sentiasa terjamin, diibaratkan seperti sungai yang mengalir dan ia sangat bermakna buat Malaysia.
Turut sama dalam pertemuan itu Timbalan Menteri Luar, Datuk Muhamad Alamin, Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad, Setiausaha Bahagian Asia Timur Kementerian Luar Negeri, Datuk Tarid Sufian, dan Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.