TPM yakin pentadbiran Trump teruskan program pengecualian visa
Rahimah Abdullah
Januari 27, 2017 17:13 MYT
Januari 27, 2017 17:13 MYT
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin pentadbiran baharu Amerika Syarikat di bawah Presiden, Donald Trump akan meneruskan program pengecualian visa Amerika Syarikat untuk Malaysia.
Ketika ini jelasnya, hanya satu syarat belum dipenuhi Malaysia bagi program berkenaan iaitu penolakan permohonan visa kurang daripada tiga peratus.
Setakat ini katanya, tahap penolakan permohonan visa untuk Malaysia berada pada tahap 3.7 peratus dan hanya memerlukan pengurangan 0.7 peratus sebelum kesemua syarat program dapat dipenuhi.
"Tahap penolakan itu kini kita hanya ada 0.7 peratus lagi untuk memenuhi kehendak itu. Kita amat positif program ini akan terus dilaksanakan.
Kita harap syarat dipenuhi itu akan diiktiraf terus oleh pentadiran AS yang baharu," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penganugerahan dan Pemakaian Pangkat Kehormat RELA kepada Ahli-Ahli Mesyuarat Pengurusan Tertinggi (MPT) Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Ahmad Zahid sebelum itu menerima kunjungan hormat Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir di ibu pejabatnya.
Justeru katanya, kementeriannya sedang melakukan pelbagai usaha bagi memastikan program berkenaan dapat dilaksanakan.
"Perkara ini telah diusahakan oleh semua pihak terutama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak pejabat kedutaan sendiri dengan mengadakan beberapa kempen kesedaran dan taklimat untuk agensi pelancongan dari Malaysia ke AS," jelasnya.
Program pengecualian visa Amerika Syarikat akan membolehkan warganegara Malaysia memasuki negara Uncle Sam itu tanpa memohon visa dan membolehkan mereka tinggal di negara itu dalam tempoh maksimum 90 hari bagi tujuan pelancongan atau perniagaan.