TPM:Tambah guru bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan

Wan Syamsul Amly
Mei 12, 2014 19:02 MYT
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) ketika berucap pada Mesyuarat Majlis Perundingan Pemimpin Pelajar Kebangsaan (MPPK). --fotoBERNAMA
Kerajaan akan menambah bilangan guru bahasa Mandarin dan bahasa Tamil yang berkelayakan di sekolah-sekolah kebangsaan seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia sejajar dengan usaha Kementerian Pendidikan untuk memenuhi keperluan murid pelbagai kaum untuk mempelajari bahasa ibunda.
"Dari aspek perpaduan nasional, kerajaan melalui pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) akan meneruskan usaha memperkasa peranan sekolah kebangsaan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan murid murid pelbagai kaum.
"Dalam pada itu, kerajaan juga tidak bercadang untuk menambah bilangan Sekolah Wawasan," katanya.
Muhyiddin berkata demikian semasa berucap sebelum Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Muhyiddin berkata demikian sebagai jawapan terhadap isu Sekolah Wawasan dan penambahan bilangan guru bahasa Mandarin dan Tamil itu ‎dibangkit pada MPPK 2013.
MPPK bermula pada tahun 1999 dan sehingga kini sudah memasuki tahun ke-16 pelaksanaannya.
Mesyuarat MPPK merupakan platform utama barisan kepimpinan pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menyuarakan isu-isu serta memberi cadangan dan pandangan dalam proses melengkapkan dasar kerajaan dalam aspek pembangunan negara.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata, Kementerian Pendidikan merancang untuk memperkenalkan pembelajaran bahasa Mandarin dan bahasa Tamil di sekolah kebangsaan.
Ia termasuk menentukan penyediaan guru mengikut transformasi Pelan Pembangunan Pendidikan, yang akan dilaksanakan mengikut fasa.
Sekolah Wawasan pula merupakan sekolah integrasi yang menempatkan beberapa buah sekolah yang berlainan aliran dalam satu kawasan yang sama.
Ia bertujuan menyatukan para pelajar daripada etnik Melayu, Cina dan India melalui satu sistem pendidikan di dalam satu kawasan.
Dalam pada itu kata Muhyiddin, kerajaan juga sedang meneliti kemudahan kolej kediaman sedia ada di semua kampus Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
"Asrama baru yang dibina adalah sebanyak 75,184 di mana 7,184 sudah dibina, 39,000 dalam pembinaan dan baki 29,000 masih dalam peringkat perundingan,'' ujarnya.
Selain itu jelasnya, industri sukan negara yang merangkumi usaha pembangunan sukan melalui sistem piramid yang diperkenalkan Kementerian Belia Sukan (KBS) untuk melatih pemain pelapis dari umur tujuh sehingga 17 tahun untuk diserap di perancangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kelak.
Kata Muhyiddin lagi, kerajaan turut mempertimbang cadangan mewujudkan undang-undang bagi menjamin kesejahteraan, keharmonian dan keselamatan negara.
"Kita sudah mengambil langkah progresif dengan melaksanakan Ops Cantas bermula 17 Ogos 2013 dan ia terbukti dengan penurunan kadar jenayah terancang sebanyak 33 peratus.
"Sebelum itu, kita sudah membuat pindaan Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan pemerluasan) 2013 bagi menangani masalah kongsi gelap dan gangsterisme yang akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak,'' jelasnya.
Pada MPPK 2014, sebanyak empat kertas kerja dibentangkan merangkumi isu alam sekitar, pembangunan belia, memperkasa peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan transformasi pengangkutan awam negara.
#Hari Guru #Mandarin #Muhyiddin Yassin #Pembangunan Pendidikan Malaysia #pendidikan #PPPM #sekolah #Tamil
;