TPM sokong cadangan penubuhan Suruhanjaya Pendidikan
Bernama
November 25, 2017 19:05 MYT
November 25, 2017 19:05 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menyokong cadangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) supaya Suruhanjaya Pendidikan diwujudkan bagi memastikan pemerkasaan dan kesinambungan pelaksanaan dasar pendidikan negara.
Beliau berkata kewujudan suruhanjaya tersebut juga dilihat perlu bagi mengelak berlaku perubahan serta pengenalan dasar-dasar baharu setiap kali menteri pendidikan dan menteri pendidikan tinggi berubah.
"Saya amat menyokong jika Suruhanjaya Pendidikan ini mahu diusulkan. Kita mahu melihat supaya suruhanjaya ini mengungguli dasar-dasar pendidikan yang harus dipatuhi oleh semua menteri yang mengambil alih portfolio pendidikan. (Dasar) jangan perlu berubah apabila menterinya berubah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Agung Tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) ke-63 di sini, hari ini.
Terdahulu, dalam ucapannya Presiden GPMS Zambri Mohd Isa mencadangkan penubuhan suruhanjaya itu bagi memandu sistem pendidikan negara agar sentiasa konsisten dan berada pada landasan yang tepat.
Ahmad Zahid berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan yang ada ketika ini hanya menyemak skema pendidikan.
Justeru, Suruhanjaya Pendidikan akan dapat menjamin agenda pendidikan nasional dapat dicapai khususnya dalam wawasan negara merealisasikan Transformasi Nasional 2050.
"Jangan jadikan murid dan pelajar kita dimasukkan dalam makmal ujian. Mereka bukan bahan uji kaji.
"Mereka ialah aset negara yang harus diperkasakan. Jangan ada agenda peribadi dan pemikiran sempit dalam sektor pendidikan," katanya.
Dalam itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata agenda GPMS yang memperjuangkan pendidikan Melayu tidak bererti NGO tersebut rasis dan membenci sistem pendidikan lain dalam masyarakat majmuk Malaysia.
"Ini bukan soal menyemarakkan api perkauman. Tetapi realitinya di negara manapun kita jadi warganegara, prinsip-prinsip Perlembagaan, peraturan dalam kehidupan, budaya dan bahasa harus dijunjung.
"Silang budaya dengan sesuatu kumpulan lain harus dihormati. Kita harus menghormati budaya orang lain," katanya.
Ahmad Zahid berkata sebarang perbezaan pendapat juga perlu ditangani berasaskan prinsip-prinsip Perlembagaan negara.
Selain itu, beliau turut mengingatkan tokoh lama, kini dan yang akan datang dalam GPMS supaya menyokong serta menghormati pemimpin dalam gabungan itu.
"Kita yang pernah jadi pemimpin GPMS, bila ada orang lain ambil alih, seolah-olah zaman kita saja baik, zaman kini tidak baik. Jangan ada sifat begitu," katanya.
-- BERNAMA