TPM Singapura berada di Putrajaya sampaikan perutusan PM Lee kepada Tun M
Bernama
Januari 1, 2019 05:22 MYT
Januari 1, 2019 05:22 MYT
Timbalan Perdana Menteri Singapura Teo Chee Hean berada di Putrajaya pada 31 Dis 2018 untuk menyampaikan mesej kepada Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi pihak Perdana Menteri Lee Hsien Loong.
Teo yang juga Menteri Penyelaras Keselamatan Negara berada di Putrajaya bersama Menteri Kewangan Heng Swee Keat, menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Luar (MFA) republik itu dalam kenyataan yang dikeluarkan susulan pertanyaan media mengenai mesyuarat dua hala antara Singapura dan Malaysia.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memperincikan perutusan tersebut.
Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata pada Selasa bahawa ruang udara adalah satu daripada isu yang dibincangkan dalam pertemuan antara Dr Mahathir dan Teo di Putrajaya pada Isnin.
Saifuddin juga berkata pertikaian antara Malaysia dan Singapura berhubung ruang udara akan dibincangkan semasa pertemuan beliau dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Dr Vivian Balakrishnan pada 8 Jan.
Ketika mengesahkan perkara ini, jurucakap MFA Singapura berkata kedua-dua Menteri Luar akan mengadakan pertemuan pada 8 Jan di Singapura sambil menambah bahawa "ada juga rancangan untuk Menteri Pengangkutan dari kedua-dua negara bertemu tidak lama lagi."
Saifuddin dilaporkan berkata bahawa lawatannya ke Singapura adalah kesinambungan daripada mesyuarat pada Isnin.
"Terdapat beberapa isu, tetapi yang perlu diberi perhatian segera adalah rancangan Singapura untuk memperkenalkan Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) bagi Lapangan Terbang Seletar yang akan melalui ruang udara meliputi Pasir Gudang, Johor.
"Kami membantah dan mengisytiharkan ruang udara sebagai kawasan larangan, dan ini akan menjadi masalah kepada Singapura. Saya yakin isu itu akan dibincangkan dengan baik untuk mencari penyelesaian menang-menang bagi kedua-dua negara," kata Saifuddin.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia telah mengeluarkan Notis kepada Juruterbang (NOTAM) pada 25 Dis 2018, memaklumkan pihak penerbangan mengenai pewujudan Kawasan Larangan kekal untuk tujuan aktiviti ketenteraan meliputi ruang udara Pasir Gudang berkuatkuasa mulai 2 Jan 2019.
-- BERNAMA
#Heng Swee Keat
#ILS
#kawasan larangan
#keselamatan
#Lapangan Terbang Seletar
#Lee Hsien Loong
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#Mesyuarat Dua Hala
#Pasir Gudang
#penerbangan
#Putrajaya
#ruang udara
#Saifuddin Abdullah
#Singapura
#Teo Chee Hean
#vivian balakrishnan