TPM selar pihak dakwa dasar BN tak ikut lunas Islam

Aizat Sharif
Julai 14, 2013 08:10 MYT
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar segelintir pihak yang mengatakan bahawa dasar yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mengikut lunas-lunas Islam.
“Saya bukanlah hendak berkempen pilihan raya di sini tetapi saya ada dengar pemimpin politik parti tertentu yang mencabar dan mengatakan apa yang dibawa oleh Umno tidak Islam dan bercanggah dengan agama. Malah, Umno tidak berjuang berlandaskan Islam,” kata Muhyiddin dalam ucapan beliau ketika merasmikan peletakkan batu asas pangsapuri empat tingkat bagi penempatan semula mangsa air pasang besar di Kampung Lay Out Tok Saboh di sini pada Sabtu.
Beliau mencabar kepada pihak-pihak berkenaan supaya menyatakan pula bahawa usaha seperti menyediakan rumah kepada rakyat sebagai tidak selari dengan tuntutan agama.
Usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan terutama dalam pembinaan institusi sehingga tertegaknya syiar Islam di negara ini dan juga pembangunan sosial serta pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) merupakan usaha yang tidak pernah bercanggah dengan kehendak Islam.
“Segala apa yang dilakukan oleh oleh kerajaan tidak pernah pun dikatakan sebagai haram atau tidak harus dilaksanakan oleh majlis Fatwa Kebangsaan, para mufti, dan tokoh-tokoh agama jadi saya tidak faham kenapa mereka boleh berkata begitu,” kata beliau.
Menurutnya lagi, apa yang dikatakan oleh pihak tersebut ternyata bertentangan dengan agama.
“Saya tak boleh nak sebut apa hukumnya namun ianya terserah kepada kebijaksanaan masing-masing untuk menilai dan saya meminta kepada rakyat supaya tidak terpedaya dengan tuduhan seperti itu yang hanya ditohmahkan hanya kerana seseorang itu 'memakai baju biru' dan tidak berjubah,” kata Muhyiddin.
Beliau berharap apabila tibanya hari pilihan raya nanti, rakyat Kuala Besut dapat menyokong BN semula agar memastikan pembangunan rakyat Kuala Besut dapat disambung dan diteruskan semula.
#BN #Kuala Besut #Muhyiddin Yassin #PAS #perumahan #PRK
;