TPM New Zealand akan berada di Malaysia dalam lawatan ke 4 negara Asia Tenggara

Bernama
Jun 6, 2024 08:10 MYT
Peters (foto) dijangka tiba di Malaysia pada Khamis (6 Jun), sebagai sebahagian daripada lawatan beliau ke empat negara Asia Tenggara. -Gambar fail/Facebook
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri New Zealand merangkap Menteri Luar Winston Peters dijangka tiba di Malaysia pada Khamis (6 Jun), sebagai sebahagian daripada lawatan beliau ke empat negara Asia Tenggara.

Ringkasan AI
  • Timbalan Perdana Menteri New Zealand merangkap Menteri Luar, Winston Peters, dijangka tiba di Malaysia sebagai sebahagian daripada lawatan beliau ke empat negara Asia Tenggara.
  • Peters akan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengadakan Mesyuarat Menteri Luar yang julung kali diadakan di bawah Perkongsian Strategik New Zealand-Malaysia.
  • Malaysia dan New Zealand menjalinkan hubungan diplomatik pada 25 Sept 1957, dan Malaysia adalah rakan dagang kedua terbesar New Zealand di rantau Pasifik setakat Jun 2023.

Menurut laman sesawang rasmi Kerajaan New Zealand, Beehive.govt.nz, Peters memasuki Parlimen New Zealand pada tahun 1978 sebagai Ahli Parlimen (MP) bagi kawasan Hunua dengan National Party.
Beliau kemudian berkhidmat sebagai MP bagi kawasan Tauranga dari tahun 1984 hingga 2005.
Ahli politik New Zealand yang terkenal itu meninggalkan National Party pada tahun 1993 dan menubuhkan parti New Zealand First, di mana beliau memegang jawatan kepimpinan sejak itu.
Selain daripada peranan politiknya, Peters juga berkhidmat sebagai 'Minister for Racing'. Beliau juga mempunyai latar belakang dalam bidang sukan, pernah menjadi wakil ragbi Maori New Zealand.
Semasa di sini, Peters akan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengadakan Mesyuarat Menteri Luar yang julung kali diadakan di bawah Perkongsian Strategik New Zealand-Malaysia.
Fakta Tentang New Zealand:
  • New Zealand, sebuah negara kepulauan kecil dengan populasi sekitar 4.5 juta orang, terletak di Lautan Pasifik. Ia terkenal dengan pasukan ragbi kebangsaannya (All Blacks), budaya asli Maori dan landskapnya yang indah.
  • Teras ekonomi New Zealand adalah eksport komoditi pertanian, termasuk produk tenusu, daging, produk hutan, buah-buahan dan sayur-sayuran, serta wain.
  • Malaysia dan New Zealand menjalinkan hubungan diplomatik pada 25 Sept 1957 dan sejak itu, hubungan dua hala mereka kekal kukuh dan stabil.
  • Malaysia secara konsisten menerima peningkatan jumlah pelancong dari New Zealand setiap tahun, dengan 18,238 warga New Zealand melawat Malaysia pada tahun 2022. Selain itu, lebih 17,000 rakyat Malaysia menetap di New Zealand.
  • Di rantau Pasifik, Malaysia adalah rakan dagang kedua terbesar New Zealand, dengan jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah RM6.32 bilion (US$1.42 bilion) setakat Jun 2023.
  • Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang dianggotai oleh Malaysia dan New Zealand bersama Australia, United Kingdom dan Singapura, merupakan satu daripada peraturan pertahanan paling lama beroperasi di dunia.
  • -- BERNAMA
    #Hubungan dua hala #New Zealand #Winston Peters #Mesyuarat Menteri Luar