TPM, menteri ucap Selamat Hari Sarawak
Bernama
Julai 22, 2024 13:21 MYT
Julai 22, 2024 13:21 MYT
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Persekutuan antara yang mengucapkan Selamat Hari Sarawak yang disambut hari ini kepada seluruh rakyat Bumi Kenyalang.
Fadillah dalam ucapannya mengajak semua rakyat negeri itu untuk terus memperkukuh ikatan dan kesatuan serta pada masa sama meraikan perbezaan dan mempertahankan identiti bersama sebagai rakyat Sarawak.
Sempena sambutan Perayaan 61 tahun Sarawak, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya mengajak rakyat berterima kasih dan tidak melupakan perjuangan nenek moyang mendapatkan kebebasan dan kemerdekaan negeri, yang perlu dijadikan aspirasi untuk terus membangunkan Sarawak dengan lebih gemilang.
"Kita diamanahkan dengan penuh rasa tanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian, memastikan negeri dan negara selamat, serta menjamin kestabilan dan perpaduan.
"Perjalanan untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran bukanlah mudah dan tidak boleh dilakukan secara bersendirian. Ia memerlukan usaha kolektif, kebersamaan dan perpaduan semua kaum," katanya dalam hantaran menerusi Facebook hari ini.
Fadillah berkata pimpinan negeri masa kini juga berjaya meletakkan Sarawak sebagai negeri yang sangat disegani dan dihormati, dalam dan luar negara, menerusi pelbagai kejayaan termasuk dalam isu ekonomi.
Turut mengucapkan Selamat Hari Sarawak ialah Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi juga menerusi hantaran Facebook, yang menyifatkan perjalanan negeri untuk mencapai kedudukan hari ini, adalah usaha keras dan pengorbanan semua rakyat Bumi Kenyalang.
"Hari ini kita berbangga dapat melihat Sarawak muncul sebagai antara yang terbaik di mata dunia dalam perkembangan ekonominya.
"Usaha keras dan pengorbanan bukan sahaja dari kalangan pejuang Sarawak, tetapi juga rakyat Sarawak secara keseluruhannya bagi membawa peningkatan pembangunan, pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik negeri," kata Ahli Parlimen Kapit itu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri yang juga Ahli Parlimen Santubong pula menyifatkan Hari Sarawak sebagai hari istimewa untuk merayakan keunikan dan kekuatan negeri yang kaya dengan pelbagai budaya, tradisi dan sejarah.
Beliau menyifatkan kekuatan Sarawak terletak pada usaha dan komitmen semua untuk memajukan negeri dan membina masyarakat yang harmoni serta memupuk perpaduan.
"Marilah kita terus berganding bahu, memperkukuh perpaduan dan bekerja bersama untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang. Semoga Sarawak terus maju makmur dan sejahtera," katanya.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing pula berkata 22 Julai 1963 menandakan detik penting dalam sejarah Sarawak iaitu diberikan kuasa untuk mentadbir pemerintahan sendiri oleh British sebelum membuka jalan kepada negeri itu untuk menyertai pembentukan Malaysia pada 16 Sept tahun sama.
"Hari Sarawak bukan sekadar hari perayaan. Ia adalah hari untuk mengingati perjalanan kita ke arah menentukan hala tuju sendiri dan kemajuan yang telah kita kecapi.
"Dari hutan hujan hingga ke bandar yang sibuk, Sarawak adalah negeri yang kaya dengan kepelbagaian dan keharmonian. Tradisi, muzik, tarian, masakan kita mencermikan gabungan keunikan budaya yang menjadikan kita benar-benar istimewa," katanya yang juga Ahli Parlimen Bintulu.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek juga tidak ketinggalan memuat naik ucapan mereka menerusi media sosial, yang turut disertakan dengan poster berkaitan Sarawak.
-- BERNAMA