TPM, jemaah menteri ucap selamat menyambut Thaipusam
Bernama
Januari 25, 2024 13:00 MYT
Januari 25, 2024 13:00 MYT
KUALA LUMPUR: Jemaah menteri Kabinet, menerusi media sosial masing-masing mengambil kesempatan berkongsi ucapan selamat menyambut Thaipusam kepada semua penganut agama Hindu hari ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi catatan di Facebook berkata keindahan Malaysia terisi dengan kepelbagaian kaum, agama, adat dan tradisi, namun ia tetap harmoni.
"Semoga Thaipusam pada tahun ini akan terus memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini yang berbilang kaum, agama dan bangsa, sekali gus menyemai sifat keterangkuman dan kebersamaan," katanya.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof turut berkongsi ucapan menerusi Facebooknya yang menyifatkan perayaan Thaipusam sebagai satu lagi manifestasi kepada kepelbagaian dan kekayaan budaya di negara ini.
"Semoga semangat perpaduan dalam bingkai kepelbagaian kaum akan terus kekal menjadi tunjang keharmonian dan kesejahteraan di negara kita, melalui pemahaman dan penghayatan tradisi budaya yang pelbagai," katanya.
Ucapan perayaan Thaipusam itu turut dimuat naik Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dalam perkongsian di Facebook beliau.
"Semoga semua rakan-rakan yang beragama Hindu dapat menyambut sambutan Thaipusam tahun ini dengan meriah di samping keluarga tersayang. Kukuhkan perpaduan, eratkan hubungan sesama kita," katanya.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pula mengajak orang ramai mengisi masa cuti yang ada untuk diluangkan bersama keluarga.
"Semoga sambutan tahun ini diraikan dalam suasana yang meriah bersama insan tersayang. Kepada mereka yang bercuti, ambillah sedikit masa dan ruang untuk berehat dan luangkan masa bersama keluarga," katanya.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut mengambil peluang mengucapkan selamat menyambut hari Thaipusam kepada seluruh penganut beragama Hindu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang turut mewakili semua warga kerja kementeriannya berkongsi ucapan Thaipusam menerusi satu hantaran video di Facebook beliau.
"Semoga semangat perpaduan dalam kepelbagaian kaum akan terus kekal menjadi asas keharmonian dan kesejahteraan di negara kita," katanya.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad pula menerusi hantaran di Facebook juga memberikan ucapan yang sama.
"Semoga semangat perpaduan dalam kepelbagaian kaum akan terus kekal keharmonian dan kesejahteraan di negara kita. Moga diberikan kesihatan yang baik, dilimpahkan rezeki dan dilindungi tuhan," kata Nik Nazmi.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengambil peluang membuat ucapan sempena perayaan itu kepada warga Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), warga kampus dan rakyat Malaysia yang meraikannya.
"Semoga semangat perpaduan, sikap saling menghormati dan memahami budaya kepelbagaian kaum lain akan terus kekal menjadi asas keharmonian dan kesejahteraan dalam negara kita," katanya.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menerusi Facebooknya berharap semoga Malaysia terus makmur dan harmoni membina keutuhan negara MADANI.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani juga menerusi hantaran di Facebook masing-masing tidak terlepas mengucapkan selamat Thaipusam itu.
Menteri Digital Gobind Singh Deo menerusi catatan di Facebooknya berkata semoga hari yang bermakna ini membawa keberkatan, kesucian dan keharmonian.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi laman Facebook beliau turut mengucapkan selamat menyambut Thaipusam dan berharap semoga seluruh masyarakat negara ini terus sihat dan ceria.
-- BERNAMA