TPM, Jemaah Menteri ucap Selamat Menyambut Deepavali
Bernama
Oktober 31, 2024 12:20 MYT
Oktober 31, 2024 12:20 MYT
KUALA LUMPUR: Sempena sambutan 'Pesta Cahaya' hari ini, Timbalan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri tidak ketinggalan mengucapkan selamat menyambut Deepavali menerusi media sosial masing-masing kepada penganut Hindu di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi catatan di Facebook berharap Deepavali kali ini membawa cahaya kebahagiaan dan kesejahteraan buat semua yang merayakannya.
"Saya dan seisi keluarga ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Deepavali kepada seluruh penganut agama Hindu di Malaysia dan di mana jua anda berada. Inilah nikmat kepelbagaian yang kita banggakan, disulami dengan semangat perpaduan yang memupuk nilai toleransi serta rasa kasih sayang sesama kita.
"Biarlah rasa hormat-menghormati ini tersemat di dalam hati selamanya dan menjadi cerminan kemajmukan rakyat Malaysia sekali gus membawa negara menuju masa depan lebih makmur dan sejahtera," katanya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut berkongsi ucapan Deepavali menerusi Facebook berkata, semoga perayaan kali ini disambut penuh makna bersama yang tersayang, menjadi jambatan pengukuh ikatan kekeluargaan dan persahabatan serta menyemai keharmonian di negara ini.
"Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada seluruh penganut Hindu di mana jua anda berada, terutamanya di Malaysia. Mari kita perkukuhkan perpaduan demi Malaysia tercinta," katanya.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi hantaran di Facebook beliau mengucapkan selamat menyambut Deepavali kepada semua penganut Hindu di seluruh Malaysia.
"Semoga perayaan pesta cahaya kali ini disambut dengan penuh bermakna bersama sahabat handai dan ahli keluarga tercinta," katanya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut mengucapkan selamat menyambut Deepavali kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Hindu dan mereka yang turut meraikannya.
"Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, semangat saling hormat-menghormati dan perpaduan antara kaum amat penting bagi memastikan kita terus kukuh dan makmur sebagai sebuah negara. Pada hari yang bermakna ini, marilah kita mengukuhkan ikatan persaudaraan, menanam nilai kesederhanaan, dan sentiasa memupuk keharmonian antara kita.
"Saya berharap agar cahaya Deepavali membawa kebahagiaan, keamanan dan kemakmuran kepada semua. Semoga kita semua diberkati dengan kesejahteraan dan kebahagiaan yang berpanjangan. Deepavali Valthukkal!" katanya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dalam mesej Deepavali yang dikongsi di Facebooknya berkata, Deepavali lebih daripada sekadar perayaan dan melambangkan perpaduan yang erat dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.
"Setiap kali tibanya festival cahaya ini, kita diraikan dengan semangat hormat-menghormati, memahami antara satu sama lain, dan menghargai kepelbagaian sebagai satu kekuatan bersama.
"Deepavali juga memberikan peluang untuk kita meluangkan masa yang bermakna bersama keluarga tercinta, menikmati juadah tradisional yang penuh warna-warni, dan berkongsi kegembiraan dalam suasana yang harmoni.
"Semoga cahaya Deepavali menerangi setiap hati dengan kesejahteraan, kebahagiaan dan harapan yang cerah. Selamat Menyambut Deepavali kepada semua yang meraikannya," katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menerusi hantaran di Facebooknya berharap sambutan Deepavali pada tahun ini akan membawa sinar kebahagiaan kepada ahli keluarga, saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai.
"Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Deepavali kepada semua masyarakat Malaysia yang beragama Hindu yang menyambutnya hari ini.
"Ambillah peluang perayaan sebegini untuk kita saling kunjung mengunjung tanpa mengira latar bangsa dan kepercayaan bagi menyemarakkan semangat perpaduan yang telah lama terjalin antara kita masyarakat majmuk rakyat Malaysia. Deepavali Nal Valthukal!" katanya.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pula berkata, Deepavali ialah pesta cahaya yang pastinya membawa kebahagiaan dan menerangi kegelapan dan kekuatan kita adalah keupayaan kita merangkul kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.
"Tiada apa yang lebih membahagiakan kita melainkan dapat hidup dalam negara ini dalam nuansa damai serta harmoni. Rukunnya ialah MADANI.
"Pertahankan kekuatan rukun damai serta keharmonian yang telah kita bina berdekad lamanya kerana perpaduan adalah tunjang negara. Selamat Hari Deepavali," katanya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali turut mengucapkan selamat menyambut Deepavali kepada semua penganut Hindu.
"Semoga perayaan pesta cahaya ini akan membawa cahaya kebahagiaan kepada yang meraikannya," katanya. - BERNAMA