TPM Fadillah Yusof kongsi detik kembali ke sekolah lama di Parit Buntar

Bernama
Ogos 18, 2023 00:27 MYT
Datuk Seri Fadillah Yusof kembali ke sekolah lamanya, SMK) Panglima Bukit Gantang di sini untuk lawatan tidak rasmi, kunjungan pertama beliau sejak dilantik ke jawatan itu pada awal Disember tahun lepas. - Foto Facebook Fadillah Yusof
PARIT BUNTAR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini kembali ke sekolah lamanya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panglima Bukit Gantang di sini untuk lawatan tidak rasmi, kunjungan pertama beliau sejak dilantik ke jawatan itu pada awal Disember tahun lepas.
Berkongsi detik itu di laman Facebook, Fadillah berkata beliau memulakan pendidikan menengahnya di SMK Panglima Bukit Gantang dari tingkatan satu pada 1975 hingga tingkatan enam sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya.
"Tempat jatuh lagi dikenang. Ini kan pula tempat saya menimba ilmu pengetahuan. Jasa, tunjuk ajar dan ilmu yang dicurahkan oleh bekas guru-guru saya di sekolah ini hanya Allah SWT jua yang dapat membalasnya," tulis beliau.
Fadillah, yang turut mengadakan perjumpaan bersama guru dan pelajar SMK Panglima Bukit Gantang, berkata beliau telah meluluskan permohonan beberapa projek penambahbaikan kemudahan untuk sekolah itu termasuk padang, surau, dewan makan dan asrama.
"Saya mendoakan kesejahteraan buat semua dan semoga SMK Panglima Bukit Gantang terus cemerlang dan maju jaya," katanya yang turut memuat naik beberapa keping gambar berkaitan kunjungan itu.
-- BERNAMA
#Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof #kembali ke sekolah lama #SMK Panglima Bukit Gantang #parit buntar
;