TPM Fadillah ketuai delegasi Malaysia ke Forum Air Dunia di Bali
Bernama
Mei 17, 2024 17:30 MYT
Mei 17, 2024 17:30 MYT
JAKARTA: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof akan mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Air Dunia kali ke-10 di Bali dari 18 hingga 21 Mei atas jemputan Presiden Indonesia, Joko Widodo.
WWF yang diadakan setiap tiga tahun dianjurkan bersama oleh Majlis Air Dunia (WWC) dan negara tuan rumah, bertujuan untuk memupuk hubungan kerjasama global dan menggalakkan tindakan dalam mengenalpasti isu-isu terkini berkaitan pengurusan air melalui penyelesaian bersepadu.
"Forum ini dijangka mengukuhkan komitmen Malaysia untuk memastikan penggunaan air yang mampan, keselamatan bekalan air dan mewujudkan peluang ekonomi.
"Malaysia melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air akan memberi tumpuan kepada penyelesaian inovatif untuk menangani cabaran air yang wujud, seperti perubahan corak hujan dan fenomena cuaca melampau," menurut kementerian dalam kenyataan pada Jumaat.
Penyertaan Malaysia dalam Forum itu juga akan melibatkan Mesyuarat Peringkat Tertinggi yang diketuai oleh Indonesia, bertujuan untuk meneroka penyelesaian inovatif terhadap cabaran berkaitan air berdasarkan tema forum, "Air untuk Kemakmuran Bersama".
Delegasi Malaysia dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Joko Widodo; Menteri Penyelaras Maritim dan Hal Ehwal Pelaburan Indonesia, Luhut Binsar Pandjaitan dan Setiausaha Konvensyen Air dan pihak-pihak berkaitan yang lain.
"Pertemuan tersebut akan membincangkan mengenai kemajuan hubungan dua hala, khususnya kerjasama pada masa hadapan dan usaha kolaboratif untuk meningkatkan kemampanan air, berkongsi penyelesaian inovatif untuk menangani isu-isu berkaitan air di rantau ini serta secara global," kata kementerian.
-- BERNAMA