TPM Fadillah hadiri rumah terbuka PDRM
Bernama
Mei 9, 2023 15:21 MYT
Mei 9, 2023 15:21 MYT
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini meluangkan masa menghadiri Rumah Terbuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Hari Raya Aidilfitri di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur di sini.
Ketibaan Fadillah di PULAPOL pada 12.43 tengah hari itu disambut Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Majlis yang menerima kedatangan tetamu sejak 12 tengah hari itu, dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalannya Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Azam Baki.
Fadillah turut meluangkan masa menyantuni tetamu yang hadir dan meninggalkan majlis itu pada 1.47 tengah hari.
Majlis berkenaan dihadiri lebih 2,000 pengunjung terdiri daripada warga PDRM pelbagai kaum dan agama.
-- BERNAMA