TPM Fadillah arah dua kementerian tangani isu air Sabah dalam tempoh dua minggu
Bernama
Januari 20, 2024 19:15 MYT
Januari 20, 2024 19:15 MYT
TUARAN: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mahu Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Kerja Raya berbincang mencari kaedah penyelesaian terbaik berhubung isu bekalan air Sabah terutama melibatkan projek Loji Rawatan Air (LRA) Telibong Fasa II, dekat sini.
Mengarahkan perkara itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam berkata kedua-dua kementerian terbabit perlu mengadakan perbincangan bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Air Negeri Sabah dalam tempoh dua minggu ini.
Tidak hanya mencari penyelesaian isu berbangkit termasuk dalam aspek perpaipan, Fadillah berkata perbincangan itu perlu dilakukan bagi membolehkan pasukan teknikal mengemukakan anggaran kos tambahan diperlukan agar dapat diangkat semula untuk perhatian kerajaan Persekutuan.
"Projek ini akan memerlukan peruntukan tambahan dan daripada dua minggu (perbincangan) itu nanti apabila ada penyelesaiannya siap bersama anggaran kos.
"Projek ini adalah melalui pinjaman, jadi, kita kena berbincang bagaimana mencari dana tambahan daripada peruntukan yang ada khususnya dalam bentuk pinjaman itu untuk menyelesaikannya," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai perkembangan projek LRA Telibong Fasa II di sini hari ini.
Turut hadir Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Limus Jury dan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang juga Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Fadillah bagaimanapun tidak menyatakan kos tambahan diperlukan untuk loji itu kerana ia akan berubah dan menyerahkan kepada pasukan teknikal untuk melihat secara keseluruhan aspek melibatkan projek tersebut.
Beliau berkata secara keseluruhan projek LRA Telibong Fasa II, yang sedang berjalan ketika ini, sudah lebih 70 peratus siap.
Fadillah yang turut bertanggungjawab dalam hal ehwal Sabah dan Sarawak berkata lawatannya ke tapak projek itu adalah untuk melihat dan memahami sendiri isu air yang melanda rakyat Sabah khususnya di Tuaran sekali gus berharap ia dapat diselesaikan segera menerusi perbincangan pasukan teknikal tersebut.
"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sudah mengamanahkan kepada saya untuk mencari penyelesaian sebab fasa ini agak kritikal bukan sahaja untuk industri dan penduduk setempat tetapi juga kita tahu UMS (Universiti Malaysia Sabah) mempunyai masalah air.
"Jadi (LRA Telibong Fasa II) adalah satu yang akan membekalkan air ke sana," jelasnya.
-- BERNAMA