TPM Fadillah ajak orang ramai meriahkan pelancaran Bulan Kebangsaan di Cyberjaya

Bernama
Julai 21, 2024 02:40 MYT
Fadillah (tiga, kanan) melambaikan tangan kepada para peserta pada Majlis Perlepasan Score Marathon 2024 di Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mengajak orang ramai menyemarakkan semangat kemerdekaan dengan menghadiri Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di Cyberjaya hari ini.
"Semangat patriotik perlu ada sebagai seorang warganegara dan diharapkan dengan semangat itu, ia akan kukuhkan lagi kekuatan perpaduan sesama kita.
"Saya harap ramai hadir meriahkan majlis itu yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini," katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan peserta larian Score Marathon 2024 bagi kategori lima kilometer (km) di sini.
Berkonsepkan karnival rakyat, program sehari di Cyberjaya itu padat dengan pengisian bermanfaat yang mampu mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat menuju Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024.
Mengenai acara larian hari ini, Fadillah berkata ia merupakan program riadah bersama keluarga sambil mengamalkan budaya hidup sihat dan santai.
Seramai 24,253 pelari menyertai Score Marathon 2024 anjuran AIA Vitality yang bermula sejak 3 pagi tadi dengan pelepasan peserta bagi jarak 42 km, 21 km, 10 km dan lima km.
-- BERNAMA
#Hari Kebangsaan #Fadillah Yusof #Jalur Gemilang #perpaduan