TPM dakwa tidak dibenarkan solat di PDK Sungai Koyan
Arfa Yunus
Januari 23, 2019 17:04 MYT
Januari 23, 2019 17:04 MYT
Presiden Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dihalang menunaikan solat di sebuah Pusat Dalam Komuniti (PDK) di Sungai Koyan di sini, pada Rabu.
Katanya, tiada alasan diberi oleh mereka yang menghalang beliau dan pintu PDK itu terus dikunci bagi memastikan Ahli Parlimen Pandan itu tidak boleh memasuki tempat berkenaan.
Dr Wan Azizah berkata demikian semasa ditanya pemberita sekiranya PH mempunyai peluang cerah untuk merampas kerusi Cameron Highlands daripada Barisan Nasional.
"Susah untuk kita katakan sekarang. Saya hendak beritahu, saya tidak dibenarkan solat di Pusat Dalam Komuniti.
"Mereka kunci pintu, jadi saya solat di rumah sebelah. Saya tak pasti kenapa dan saya tak tanya kenapa (tidak dibenarkan solat).
"Kerana sudah masuk waktu (bersolat) dan saya diberikan alternatif, jadi saya terus menunaikan solat," kata Timbalan Perdana Menteri dalam sidang media selepas program Dialog bersama Penduduk Kampung Keledek di sini, pada Rabu.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang akan diadakan pada 26 Jan ini akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH M. Manogaran, calon BN Ramli Md Nor serta dua calon BEBAS, Wong Seng Yee dan Sallehudin Ab Talib.
#Barisan Nasional
#calon
#Cameron Highlands
#Dr Wan Azizah Wan Ismail
#Malaysia Baharu
#Pakatan Harapan
#pilihan raya kecil
#PRK Cameron Highlands
#Pusat Dalam Komuniti
#Ramli Md Nor
#Sallehudin Ab Talib
#TPM
#Wong Seng Yee