TPM arah pembinaan ICQS baharu di Bukit Kayu Hitam dipercepat
Adie Sufian Zulkefli
April 13, 2017 17:12 MYT
April 13, 2017 17:12 MYT
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengarahkan projek pembangunan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan, (ICQS) di Bukit Kayu Hitam yang kini lewat 576 hari dipercepatkan.
Ia terutamanya untuk menyokong pelaksanaan waktu operasi baharu pintu sempadan Malaysia-Thailand yang akan dilanjutkan 24 jam sehari.
Katanya arahan menyiapkan segera projek berkenaan penting selepas mengambil kira status Thailand yang sudahpun menyiapkan kemudahan yang sama di sebelah negara jiran itu, selain melaksanakan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Ini bagi melaksanakan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Dasar Logistik Negara untuk mempertingkatkan peranan Malaysia dalam sistem logistik bagi negara-negara ASEAN khususnya Segi Tiga Pertumbuhan Ekonomi Indonesia Malaysia-Thailand (IMT-GT)," katanya pada sidang media di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) di Bukit Kayu Hitam.
Terdahulu, beliau turun meninjau perjalanan projek ICQS Bukit Kayu Hitam yang kini 45.9 peratus siap melalui fasa satu pembangunan, selain melawat kompleks ICQS sedia ada yang kini dikendalikan 19 agensi dengan diterajui Jabatan Imigresen.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum.
Kata Timbalan Perdana Menteri lagi, ICQS Bukit Kayu Hitam dijadual menjalani ujian pada Ogos sebelum mula beroperasi sepenuhnya pada September 2017.
Katanya apabila kompleks baharu itu siap sepenuhnya kelak, kerajaan bakal mengutip cukai barangan dagangan yang lebih tinggi berbanding RM600 juta setahun yang dicatatkan sekarang.
"Malah kerajaan turut berharap kemasukan pelancong yang lebih tinggi memandangkan ketika ini jumlah keluar masuk pelancong merekodkan seramai 3 juta setahun," katanya.