TPM, anggota Kabinet ucap tahniah Hari Keputeraan Agong
Bernama
Jun 5, 2023 15:35 MYT
Jun 5, 2023 15:35 MYT
KUALA LUMPUR: Kedua-dua Timbalan Perdana Menteri merafak sembah dan merakamkan ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi akaun Facebook masing-masing, turut mendoakan kesejahteraan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta seluruh kerabat Seri Paduka.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, mendoakan agar pemerintahan Seri Paduka bersemayam di takhta kebesaran dengan penuh kedaulatan, dilanjutkan usia dan sentiasa diberkati oleh Allah SWT.
"Turut didoakan semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta putera-putera, puteri-puteri dan kaum kerabat Seri Paduka Baginda berdua, sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah dan seluruh naungan Tuanku mendapat limpahan manfaat atas kebijaksanaan Tuanku," katanya.
Sementara itu Fadillah juga Menteri Perladangan dan Komoditi mendoakan agar Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong serta seluruh Kerabat Diraja, sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan.
"Dirgahayu Tuanku, Daulat Tuanku, Menjunjung Kasih Tuanku," katanya.
Selain itu, anggota Kabinet juga merakamkan ucapan yang sama menerusi akaun media sosial masing-masing, antaranya Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Turut berbuat demikian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zamry Abdul Kadir, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Selain itu Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chah Lih Kang dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Asron Ago Dagang, turut berkongsi poster ucapan sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.
-- BERNAMA