TPM Ahmad Zahid lakukan lawatan rasmi ke UAE bermula 13 Nov
Nazri Kahar
November 13, 2024 18:58 MYT
November 13, 2024 18:58 MYT
ABU DHABI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan lawatan rasmi ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 13 hingga 19 November ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah akan diiringi oleh pegawai kanan daripada kementerian dan agensi berkaitan, serta wakil-wakil daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.
Lawatan rasmi ini merupakan lawatan peringkat tinggi pertama antara kedua-dua negara pada tahun 2024 selepas lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu pada Oktober tahun lalu.
Ia menunjukkan komitmen berterusan Malaysia dalam usaha mengukuhkan hubungan dan memupuk kerjasama dalam pelbagai sektor yang memberikan manfaat bersama kepada kedua-dua negara, sejak hubungan dua hala dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik pada September 2022.
Semasa lawatan ini, Ahmad Zahid dijadual terlibat dalam perbincangan peringkat tinggi, tertumpu kepada pengukuhan kerjasama dua hala, dengan penekanan khusus kepada sektor utama seperti industri halal, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), dan kecerdasan buatan (AI).
Delegasi Malaysia juga akan mengunjungi Mohamed bin Zayed University of Artificial Intelligence dan berinteraksi dengan wakil-wakil daripada G42, sebuah syarikat AI terkemuka di UAE.
Timbalan Perdana Menteri juga akan merasmikan MIHAS Dubai 2024 dan bertemu dengan pemegang taruh berkepentingan dalam sektor halal UAE sebagai usaha untuk mempromosi dan menarik lebih ramai pelabur ke Malaysia. Pada tahun 2023, UAE merupakan pengimport terbesar produk halal Malaysia dalam kalangan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
UAE adalah rakan dagang kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import kedua terbesar dari rantau Asia Barat. Dari Januari hingga September 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan UAE meningkat sebanyak 16.03 peratus kepada RM32.85 bilion (AS$7.5 bilion) berbanding RM28.31 bilion (AS$6.5 bilion) bagi tempoh yang sama pada 2023.