TPM Ahmad Zahid bersarapan bersama penduduk di Warung Kopi Atan
Nazialita Geynna Maharan
Februari 3, 2018 13:12 MYT
Februari 3, 2018 13:12 MYT
Teh tarik, nasi lemak, roti sardin dan mi goreng adalah antara menu sarapan pagi dinikmati Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika singggah di warung Kamal Idris pagi tadi.
Pemimpin nombor dua negara itu yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk tiba di warung yang dikenali sebagai Warung Kopi Atan Deris berhampiran Jeti Hutan Melintang sekitar 9.30 pagi.
Sarapan pagi Timbalan Perdana Menteri turut disertai 100 penduduk kampung berdekatan.
Beliau yang amat terkenal dengan sifat ramah terus beramah mesra bersama orang kampung yang sedang menikmati sarapan selain bersalaman serta bertanya khabar.
Pengusaha warung Mohd Kamal Idris, 42 tahun, ternyata teruja dengan kedua pemimpin itu singgah ke warung kecilnya.
Katanya, kunjungan pagi ini mengimbau ingatannya kepada wakil rakyat itu yang tidak pernah lupa menjadikan warungnya sebagai salah satu lokasi persinggahan ketika meluangkan masa turun padang berjumpa rakyat.
“Warung ini diwarisi saya turun termurun daripada ayah Idris Rahim… saya ambil alih sejak 20 tahun dulu. Ayah sekarang umur dah 64 tahun,” katanya.
Kamal berkata, warung yang beroperasi bermula pukul 6.30 hingga 11 pagi itu memulakan jualan roti canai sejak dua tahun lepas dan menerima sambutan baik orang ramai.
Dalam lawatan di kawasan jeti, Ahmad Zahid turut bersetuju untuk menaik taraf Jeti Hutan Melintang dengan peruntukan RM280,000 seperti yang dipohon oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sebelum ini.
Ahmad Zahid juga turut meluangkan masa merasmikan Chalet Tok Cardeen berhampiran jeti Hutan Melintang di dalam lawatan itu.
#Ahmad Zahid Hamidi
#Chalet Tok Cardeen
#Mohd Kamal Idris
#Timbalan Perdana Menteri
#warung Kamal Idris
#Warung Kopi Atan Deris
#Zahid Hamidi